GEORGE TOWN: Kerja-kerja pembersihan menjadi fokus utama di laluan P14 Jalan Tun Sardon yang masih ditutup ketika ini akibat insiden runtuhan cerun yang berlaku Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, laluan itu ditutup kepada semua kenderaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang kerja pembersihan dan penilaian dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Beberapa bongkah batu turut jatuh disebabkan keadaan tanah yang longgar (ketika kejadian). Nasib baik jalan ditutup lebih awal dan pada masa ini, kerja-kerja pembersihan laluan masih berjalan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Jalan Tun Sardon yang menghubungkan Paya Terubong ke Balik Pulau ditutup sejak 6 petang Khamis lepas susulan kejadian runtuhan cerun yang dipercayai berlaku kesan hujan lebat berterusan yang bermula sejak awal pagi hari yang sama.
Menurut Zairil, berdasarkan perancangan awal JKR menjangka penutupan laluan itu akan dilanjutkan sehingga 31 Oktober ini, namun, ia mungkin dibuka lebih awal bergantung kepada penilaian semasa.
“Paling awal ia boleh dibuka pun, mungkin esok. Tetapi, semuanya bergantung kepada keadaan semasa. JKR akan menilai situasi dan memaklumkan kepada kerajaan negeri,” katanya yang memberitahu, insiden yang berlaku di Jalan Tun Sardon itu berpunca daripada hujan berterusan sehingga menyebabkan beberapa cerun menjadi tidak stabil. – UTUSAN










