KOTA BHARU: “Wujudkah tokoh dalam Pas hari ini seperti Almarhum Tok Guru Nik Aziz (Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat) untuk diangkat sebagai Perdana Menteri seperti yang dicadangkan oleh parti itu.
Demikian pandangan Bekas Setiausaha Politik Tok Guru Nik Abdul Aziz, Annual Bakri Haron selepas Pas mencadangkan calon Perdana Menteri daripada parti itu perlu memiliki ciri-ciri bekas Menteri Besar Kelantan itu.
Annual Bakri berkata, cadangan itu Perdana Menteri perlu memiliki ketokohan seperti Tok Guru Nik Aziz itu adalah konsep terbaik.
“Tapi soalnya kalau tokoh itu tiada, mengapa tidak dibina? Dan jika sudah ada, mengapa tidak ditampilkan? Kenapa perlu mengambil masa begitu lama?.
“Soalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh semua peringkat parti,” katanya ketika ditemui pada Program Falsafah Pemikiran dan Perjuangan Tok Guru Nik Aziz di Kotak Seni di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, calon dari Pas yang layak diketengahkan sebagai Perdana Menteri mestilah dalam kalangan pemimpin yang paling takut kepada Allah dan mengikut perintahnya.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pemimpin yang takut dengan Allah tidak akan melakukan sebarang kemungkaran, selain bersedia berkorban demi rakyat.
Katanya, antara pemimpin contoh seperti itu ialah Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin dari Pas yang bakal diangkat sebagai calon Perdana Menteri perlu mempunyai ciri-ciri seperti bekas Menteri Besar Kelantan itu.
Mengulas lanjut, Annual Bakri memberitahu, isu pelan peralihan kepimpinan perlu diberi perhatian serius oleh mana-mana parti politik, termasuk Pas.
Katanya, kegagalan menyediakan pelan peralihan kepimpinan boleh menimbulkan krisis dalaman parti politik, sebagaimana yang pernah berlaku dalam UMNO dan tidak terkecuali juga parti lain.
“Dalam politik tidak kira mana-mana parti sekali pun, kerusi presiden atau pimpinan tertinggi seolah-olah sukar untuk diserahkan.
“Begitu juga ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad, calon pengganti tidak ditampilkan dengan jelas sehingga menimbulkan krisis berpanjangan,” ujarnya.
Annual Bakri berkata, tuntutan politik pada era kini jauh berbeza berbanding tahun 1970-an kerana masyarakat berdepan suasana lebih kompleks dengan cabaran besar untuk memenuhi pra syarat kepimpinan.-UTUSAN