MELAKA: “Saya dulu panas baran tetapi sejak main bonsai, hati jadi tenang dan tenteram. Tengok pokok tumbuh elok pun dah rasa bahagia,” kata Abdul Rahman Ahmad, 72,
Minat menanam pokok bonsai sejak lebih 40 tahun lalu menjadi sumber pendapatan lumayan kepada Abdul Rahman dari Jalan Raja Haji, Telok Emas di sini apabila hasil tanamannya mampu dijual sehingga RM6,000 sepasu.
Bekas pekerja kilang dan nelayan itu berkata, minatnya bermula ketika usia 30-an selepas melihat sahabatnya berbangsa Cina sangat meminati bonsai.
“Bonsai ini seni, bukan sekadar tanam pokok. Hanya orang yang betul-betul minat tahu menilai keindahan dan nilainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Rahman berkata, harga setiap pokok bergantung kepada bentuk, usia dan keunikannya dengan yang paling murah dijual sekitar RM300 sepasu.
Katanya, antara koleksi dimilikinya terdiri daripada pokok tempatan, pokok hutan dan beberapa spesies dari luar negara dengan sebahagiannya berusia lebih 50 tahun.
“Pernah dua pasu saya jual RM12,000, tetapi ada juga yang saya sayang, orang tawar RM7,000 pun saya tak sanggup jual,” katanya yang memiliki lebih 50 pokok pelbagai usia.
Selain bonsai, Abdul Rahman turut menanam pelbagai tanaman seperti kelapa, lemon, durian, kedondong, pisang dan beberapa herba di halaman rumahnya.
Datuk kepada 16 cucu itu berkata, dia sedia berkongsi ilmu dengan sesiapa yang berminat untuk mempelajari seni menanam bonsai.
“Ilmu ni kalau kongsi, dia hidup. Kalau simpan, dia mati. Siapa yang betul-betul nak belajar, datang saja. Saya ajar dengan hati,” katanya. – UTUSAN









