Bawah 16 dilarang guna telefon pintar

Bawah 16 dilarang guna telefon pintar

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan kariah masjid selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelajar berusia 16 tahun ke bawah dilarang menggunakan telefon pintar sementara penggunaan media sosial pula perlu sentiasa dipantau.

Larangan tersebut adalah antara tiga cadangan bagi menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah yang semakin membimbangkan akibat pengaruh media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua la­gi cadangan termasuk me­ning­katkan pemantauan ke­­­selamatan di sekolah dan pe­nambahbaikan kandungan pendidikan yang menekankan nilai dan akhlak.

Katanya, mesyuarat Kabinet semalam membincangkan panjang lebas isu pendidikan, termasuk masalah disiplin yang menimbulkan kerisauan ramai pihak keluarga, ibu bapa dan pelajar.

“Dalam hal seperti ini, kita tidak boleh mengambil tindakan secara tergesa-gesa sebaliknya ia perlu diteliti dengan mendalam.

“Antara cadangan yang perlu diteliti termasuk melarang penggunaan telefon pintar dan memantau penggunaan media sosial bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah.

“Dua minggu lalu, dalam Mesyuarat Pendidikan Kebangsaan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah memberikan penjelasan yang panjang lebar. Namun, seperti yang saya nyatakan di sini, ada beberapa langkah yang perlu diambil segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5, di sini.

Menurut Perdana Menteri, kajian sedang dibuat mengenai larangan itu kerana banyak negara lain sudah melaksanakannya.

Antaranya Australia yang akan menguatkuasakan larangan itu pada 10 Disember ini, manakala Denmark, Perancis, Sepanyol dan Itali akan turut mengambil langkah yang sama tidak membenarkan pelajar bawah 16 tahun menggunakan telefon pintar dan media sosial.

Bagaimanapun penggunaan telefon pintar dan media sosial hanya boleh digunakan oleh pelajar itu dengan kebenaran dan pengawasan guru dan ibu bapa secara menyeluruh.

“Masih ada kelonggaran bagi penggunaan telefon untuk tujuan tertentu, tetapi saya fikir kita perlu tegas dalam hal ini, dengan penglibatan dan peranan aktif ibu bapa.

“Kita dapati pengaruh media sosial dan permainan dalam talian (online games) turut memberi kesan kepada tingkah laku pelajar,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau juga mahu supaya jaminan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dengan pemantauan pihak berkuasa dengan lebih berkesan.

“Kita telah berbincang dengan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan pemantauan keselamatan sekolah dilaksanakan dengan lebih berkesan, walaupun ia bukan tugas utama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dalam kerangka Malaysia MADANI, kerajaan amat menekankan aspek nilai, akhlak dan pendidikan yang seimbang.

“Kita tahu terdapat kira-kira empat hingga lima juta pelajar dan insiden seperti kes pelajar membunuh guru, kes buli dan masalah disiplin berulang amat membimbangkan.

“Walaupun ramai pelajar mendapat pendedahan pendidikan Islam termasuk di sekolah agama dan tahfiz namun, ada juga sebahagian kecil yang terdedah kepada fahaman yang tidak sepatutnya. Ini juga sedang diteliti oleh kerajaaan,” katanya.

Katanya, menteri-menteri Kabinet, khususnya Menteri Pendidikan akan memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai cadangan dan inisiatif berkenaan sebelum diputuskan oleh kerajaan kelak.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan bercadang untuk menaikkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun serta penambahbaikan kandungan pendidikan yang menekankan nilai dan akhlak.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut akan dibincangkan secara terperinci dalam pertemuan bersama pengendali platform media sosial dan e-dagang di Singapura, minggu hadapan.

“Langkah tersebut dipersetujui secara dasar dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam. Cadangan itu antara lain bertujuan melindungi keselamatan serta kesejahteraan pengguna muda yang semakin terdedah kepada pelbagai ancaman dalam talian.

“Ini sama seperti yang ada dilakukan di beberapa negara termasuk Australia dan Indonesia. Cara had umur ini akan dikuatkuasakan adalah melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan juga MyDigital ID.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perbicaraan yang lebih mendalam dengan syarikat-syarikat ataupun platform-platform media sosial minggu depan di Singapura,” katanya menerusi sidang akhbar semalam.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pertemuan itu turut melibatkan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah, Pusat Pencegahan Jenayah Nasional (NFCC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN