KUALA KRAI: Sebuah bas persiaran yang dinaiki 34 orang pelajar dan enam guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunong, Bachok terbabit kemalangan selepas merempuh lori di Kilometer 63, Jalan Kota Bharu – Gua Musang dekat Eco Park di sini hari ini.
Bagaimanapun, kesemua penumpang termasuk pemandu bas dan lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, bas tersebut membawa seramai 40 orang penumpang itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari Bachok menghala ke Cameron Highland.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, bas tersebut telah merempuh bahagian belakang lori itu yang sedang membrek.
“Pelanggaran it menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada sebarang kecederaan dialami kesemua mangsa.
“Sasatan lanjut mendapati, nahas itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang mengekori lori tersebut yang berada di depan terlalu rapat sebelum gagal menekan brek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN