Ayam, daging serendah RM4 laris sempena Karnival Jualan Agro Madani

Ayam, daging serendah RM4 laris sempena Karnival Jualan Agro Madani

MOHD. Anzara Azizan (kanan) meninjau gerai jualan ayam RM4 yang disediakan bersempena Karnival Jualan Agro Madani@Pasar Tani Kekal Simpang Empat, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jualan ayam serendah RM4 seekor dan daging RM4 sekilogram menjadi rebutan pembeli bersempena dengan penganjuran Karnival Jualan Agro Madani@Pasar Tani Kekal Simpang Empat, di sini yang berlangsung bermula Khamis lalu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohd. Anzara Azizan berkata, sebanyak 1,500 ayam segar disediakan sepanjang empat hari penganjuran karnival itu bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Katanya, purata berat ayam yang dipasarkan kepada orang ramai menerusi program itu dianggarkan bawah 1.5 kilogram seekor.

“Untuk ayam RM4 ini, kebiasaan memang kita sediakan mengikut skala penganjuran program agar dapat menampung permintaan mengikut lokaliti. Selain itu, sambutan diterima bagi jualan ayam dan daging tersebut sememangnya begitu menggalakkan sejak dari hari pertama karnival tersebut berlangsung,” katanya ketika ditemui sempena karnival berkenaan di sini hari ini.

Anzara berkata, pihaknya optimis penganjuran karnival itu dapat mencapai sasaran ditetapkan apabila nilai jualan terkumpul direkodkan setakat semalam adalah sebanyak RM397,021.

Menurut beliau, objektif penganjuran karnival itu juga sebagai inisiatif membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi dengan menyediakan barangan keperluan dengan harga munasabah.

“Selain itu, usaha ini juga dapat membantu usahawan FAMA dengan menyediakan ruang pasaran dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Anzara berkata, Program Jualan Agro Madani di outlet-outlet FAMA di Perlis bagi tempoh sehingga September lalu telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM870,500 dengan melibatkan jumlah pengunjung seramai 60,000 serta memberi manfaat kepada 12,000 isi rumah.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 65 penganjuran Jualan Agro Madani telah dilaksanakan sekitar Perlis dan FAMA turut mensasarkan pelaksanaan sebanyak 150 program untuk tahun ini.

“Jumlah ini adalah melibatkan segmen untuk Jualan Agro Madani membabitkan outlet-outlet FAMA sekitar Perlis sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN