ASEAN tubuh kumpulan kerja tangani pengubahan wang haram, jenayah siber

ASEAN tubuh kumpulan kerja tangani pengubahan wang haram, jenayah siber

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja Jawatankuasa Teknikal Mesyuarat Pegawai Kanan Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ASEAN (SOMTC) mengenai Pengubahan Wang Haram bagi memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang serantau dalam memerangi jenayah rentas sempadan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk pengubahan wang haram dan jenayah siber canggih seperti penipuan dalam talian.

Beliau berkata, penubuhan kumpulan kerja itu merupakan langkah proaktif dan inovatif ASEAN dalam menghadapi bentuk jenayah baharu yang semakin kompleks dan melibatkan pelbagai sempadan negara.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan ASEAN untuk memastikan keselamatan dan integriti ekonomi serantau terus terpelihara melalui pendekatan kolaboratif antara agensi penguatkuasaan undang-undang negara anggota.

“ASEAN telah mengambil langkah inovatif bagi menangani masalah antara jenayah rentas sempadan, pengubahan wang haram serta jenayah siber canggih termasuk penipuan dalam talian.

“Atas inisiatif Malaysia, Kumpulan Kerja Jawatankuasa Teknikal SOM mengenai Pengubahan Wang Haram telah ditubuhkan,” katanya ketika upacara pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik dan Keselamatan ASEAN (APSC) ke-30 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini hari ini.

Mohamad berkata, usaha itu selaras dengan matlamat Pelan Strategik APSC 2045 di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem perundangan, asas kehakiman dan keselamatan serantau bagi melindungi kesejahteraan rakyat.

Katanya, sepanjang penglibatan Malaysia dalam APSC, ASEAN telah mempergiat empat tumpuan utama antaranya meningkatkan kepercayaan antara agensi keselamatan.

“Selain itu, memperkukuh kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan, memperkasa kedaulatan undang-undang serta memastikan hak asasi manusia terus menjadi teras kepada komuniti ASEAN.

“Ia membuktikan komitmen bersama kita untuk menjayakan matlamat APSC serta memperkukuh ASEAN sebagai komuniti berpaksikan peraturan dan nilai bersama supaya rantau ini kekal aman, stabil, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Menurut Mohamad, kemajuan dalam sektor pertahanan juga menunjukkan perkembangan positif apabila Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus memperluas latihan serta kerjasama dalam keselamatan siber, maritim dan kesihatan.

“ASEAN turut memberi tumpuan kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dalam pertahanan bagi meningkatkan kesedaran mengenai implikasi penggunaannya serta memastikan ia diterapkan secara bertanggungjawab dalam domain ketenteraan,” jelasnya.

Menyentuh isu hak asasi manusia, Mohamad berkata, Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) terus memperjuangkan isu hak terhadap persekitaran yang selamat dan hak untuk hidup dalam keamanan.

Katanya, AICHR juga memajukan Garis Panduan ASEAN mengenai Pelaksanaan Prinsip Tidak Menghukum bagi Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang sebagai usaha kolektif memelihara maruah dan melindungi mangsa daripada ketidakadilan.

Dalam aspek perundangan pula, Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN komited mempromosikan mekanisme timbang tara dan pengantaraan selaras dengan piawaian antarabangsa untuk menyokong integrasi ekonomi serantau, selain Perjanjian Ekstradisi ASEAN yang dijangka ditandatangani bulan depan.

Katanya, penubuhan Mesyuarat Pendakwa Raya atau Peguam Negara ASEAN (APAGM) baru-baru ini juga akan memperkukuh lagi kerjasama dan penyelarasan serantau dalam bidang pendakwaan serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

“Landskap keselamatan yang semakin kompleks hari ini menuntut kita memperkukuh kerjasama, penyelarasan dan tindakan serantau yang lebih padu bagi menangani jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kestabilan serantau terus terpelihara,” katanya.

Menurut Mohamad, memperkukuh mekanisme kerjasama antara sektor pertahanan, penguatkuasaan undang-undang dan institusi kehakiman amat penting bagi memastikan keamanan serta kestabilan serantau terus terpelihara.

“Menjelang penutupan tempoh Pengerusi ASEAN oleh Malaysia, Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota dan rakan strategik bagi memastikan ASEAN terus menjadi kuasa yang berpengaruh dalam memacu keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.

“Saya yakin ASEAN akan terus menjadi kuasa berpengaruh bagi keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN