KUALA LUMPUR: Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF) yang dibangunkan bersama Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) mendapat kelulusan negara-negara anggota bagi memperkukuh kerjasama tenaga serta mempercepat peralihan ke arah tenaga hijau di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di bawah kepengerusian Malaysia, ASEAN berjaya memuktamadkan APGF sebagai platform khusus untuk memobilisasi pembiayaan hijau dan mempercepat pelaburan tenaga rentas sempadan.
“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin penting dalam menyediakan projek berdaya maju, termasuk pelaburan tenaga di darat dan dasar laut selaras dengan usaha memperkukuh keterhubungan tenaga serantau,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN Ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 (AEFB 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Perdana Menteri berkata, penubuhan APGF menjadi langkah penting bagi merealisasikan visi pembentukan Grid Kuasa ASEAN (APG) yang sepenuhnya menjelang 2045.
“Rangkaian grid yang saling berhubung akan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, menarik pelaburan hijau, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta meletakkan ASEAN sebagai hab industri dan teknologi tenaga bersih,” katanya.
Anwar turut mengakui beberapa cabaran utama perlu ditangani termasuk daripada segi penyelarasan peraturan, pembiayaan infrastruktur dan tadbir urus berkesan.
Katanya, beliau yakin ia mampu diatasi melalui kepercayaan, komitmen serta kehendak politik yang kukuh dalam kalangan negara anggota.
“Saya menyeru semua negara anggota untuk menggandakan usaha mempercepat pelaksanaan projek sambungan tenaga, menyeragamkan kerangka peraturan serta memperkukuh kerjasama sektor awam dan swasta.
“Forum Perniagaan Tenaga ASEAN menjadi wadah terbaik untuk menterjemahkan pelan ini kepada tindakan nyata,” katanya.
Anwar berkata, APG merupakan tulang belakang kerjasama tenaga serantau yang menghubungkan tiga keutamaan iaitu kemampanan, keselamatan dan kemampuan kos tenaga. – UTUSAN










