PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menerima dua lawatan rasmi penting ke Malaysia melibatkan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa hari ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan berprofil tinggi ini menjadi pembuka tirai kepada rangkaian Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-Sidang Berkaitan.
Katanya, lawatan rasmi Lula da Silva menandakan lembaran baharu dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brazil.
“Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak kembali menerajui pemerintahan pada 2023 dan mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperjuangkan keadilan ekonomi serta kemakmuran sejagat.
“Hubungan erat kedua-dua negara turut diperkukuh selepas Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro pada Julai lalu.
“Dalam sidang tersebut, Malaysia terus memperjuangkan suara negara-negara Selatan bagi memastikan sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa yang lebih adil, seimbang, dan mampan,” katanya menerusi taklimat Pejabat Perdana Menteri di Facebook, hari ini.
Tambah Tunku Nashrul, pertemuan hari ini dijangka memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi dan inovasi.
Katanya, Kedua-dua pemimpin itu turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global.
“Lawatan ini juga mencerminkan keyakinan terhadap hubungan erat Malaysia–Brazil yang berteraskan semangat saling menghormati dan memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan demi manfaat bersama kedua-dua negara serta rantau masing-masing,” katanya.
Sementara itu, berhubung lawatan Presiden Afrika Selatan, Tunku Nashrul berkata, lawatan itu adalah bagi memperkukuh hubungan bersejarah antara Malaysia dan Afrika Selatan yang berasaskan nilai keadilan, solidariti serta pembangunan bersama.
Menurut beliau, lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Presiden pada 2018.
“Hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang terjalin sejak awal 1990-an dijangka terus berkembang melalui kerjasama strategik baharu.
“Hubungan ini turut akan diperkukuh dengan lawatan balas YAB Perdana Menteri ke Afrika Selatan bulan hadapan sempena Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg.
“Langkah ini menegaskan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama dengan rakan strategik di benua Afrika serta memperkukuh jaringan Selatan–Selatan,” katanya.
Katanya, dalam pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin dijangka menumpukan kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pertahanan, sains dan inovasi termasuk bioteknologi, digitalisasi dan pembangunan kemahiran.
Tambahnya, Malaysia turut mengiktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua itu dan berhasrat memperluas pasaran eksport minyak sawit serta meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam tenaga, pertanian dan pembuatan bernilai tinggi.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin juga menzahirkan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin, dengan Malaysia merakamkan penghargaan terhadap peranan kepimpinan Afrika Selatan dalam membawa isu kemanusiaan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dengan dua kuasa penting Selatan–Selatan, tetapi juga menegaskan komitmen negara terhadap keamanan sejagat berteraskan prinsip keadilan, kemanusiaan dan perpaduan global,” katanya.-UTUSAN.










