ALOR SETAR: Sebanyak 18 lokasi berhampiran pantai dan muara sungai di lima buah daerah di Kedah berdepan kemungkinan banjir ekoran fenomena air pasang besar bermula tengah malam semalam sehingga awal pagi Jumaat ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), fenomena itu diramal berlaku selama empat hari berturut-turut dengan ketinggian ombak 2.9 meter.
“Seterusnya pada Rabu (1.14 pagi), Khamis (1.45 pagi) dan Jumaat (2.18 pagi) dengan ketinggian ombak sehingga tiga meter
“Kawasan berisiko di Kota Setar antaranya Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra dan Taman Sri Pantai,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di kawasan perumahan di Jalan Makam Diraja Langgar, di sini semalam.
Mohd. Bukhori berkata, bagi daerah Yan, tiga lokasi berisiko ialah Kampung Kuala Raga, Kampung Kuala Sala dan Kampung Kuala Sungai Yan Kechil manakala di Kubang Pasu melibatkan Kampung Kuala Kerpan, muara Kampung Kuala Jerlun dan muara Kampung Kuala Sanglang.
“Tujuh lokasi berisiko di Kuala Muda pula ialah Kampung Kepala Tanjung, Kampung Bukit Kechik, Kampung Tukang Jusoh, Kampung Paya, Kampung Sungai Meriam, Kampung Sungai Yu dan Tanjung Dawai, manakala di daerah Langkawi hanya satu lokasi iaitu Kampung Bakau Kelibang,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, seramai 153 mangsa banjir dari daerah Pokok Sena dan Kota Setar masih berada di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Dewan Serbaguna Pokok Sena dan Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar.
“Kami berharap cuaca baik kerana jika berlaku hujan berterusan, boleh mengakibatkan pertembungan air sungai dengan air pasang besar,” katanya.-UTUSAN.










