KUALA LUMPUR: Seramai 9,280 warga emas kini berada di bawah jagaan 454 pusat jagaan warga emas membabitkan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) dan swasta di seluruh negara setakat 31 Mei lalu.
Selain itu, seramai 1,670 warga emas turut mendapatkan perlindungan di rumah jagaan warga emas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu di 10 buah Rumah Seri Kenangan (RSK) dan dua buah Rumah Ehsan (RE).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, JKM amat menekankan kepentingan berkaitan aspek kesihatan warga emas di RSK dan RE bagi memastikan ia tidak diabaikan.
Katanya, bagi institusi penjagaan warga emas kendalian kerajaan, JKM telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui penempatan kakitangan skim perkhidmatan kesihatan yang terdiri daripada Jururawat, Jurupulih Cara Kerja, Jurupulih Anggota, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Masyarakat dan Pembantu Perawatan
Kesihatan bagi menguruskan hal ehwal berkaitan keperluan kesihatan penghuni.
“Dari segi aspek keselamatan, semua institusi dilengkapi kawalan keselamatan 24 jam serta mematuhi piawaian keselamatan bangunan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Dalam masa sama, penghuni turut menikmati keistimewaan seperti wang saku serta penyertaan dalam aktiviti yang bersesuaian, termasuk aktiviti di luar institusi bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara serta hak dan privasi dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Nancy menjawab pertanyaan Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang memintanya menyatakan bagaimana kerajaan memastikan kebajikan warga emas di rumah jagaan awam dan swasta tidak diabaikan khususnya daripada aspek kesihatan, keselamatan dan hak asasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pusat jagaan warga emas berdaftar yang dikendalikan oleh PSK pula, JKM telah mewujudkan mekanisme kawalan Sistem myKendiri iaitu Sistem Penilaian Kendiri Pusat Jagaan.
Bermula 4 Mac 2020, katanya, semua pengendali pusat jagaan bertanggungjawab membuat penilaian atau pentaksiran secara kendiri setiap enam bulan selama sah tempoh perakuan pendaftaran melalui sistem myKendiri.
Katanya, penilaian kendiri dijalankan bagi memastikan pengoperasian pusat jagaan mematuhi Akta Pusat Jagaan 1993, Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 dan Undang-undang yang berkuatkuasa.
“Selanjutnya bagi semak dan imbang, JKM turut menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut terhadap pusat jagaan dan membuat tindakan penguatkuasaan bagi pusat jagaan yang tidak berdaftar,” katanya.
Menjawab pertanyaan kedua Siti Mastura berkenaan kelayakan minimum bekerja di rumah jagaan, Nancy berkata, mana-mana individu yang ingin berkhidmat dalam sektor penjagaan dan perkhidmatan komuniti digalakkan untuk mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Katanya, bagi pegawai dan petugas di RSK dan RE, mereka sentiasa menerima latihan berterusan termasuk mengikuti kursus untuk meningkatkan kemahiran penjagaan warga emas.
“Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut mengiktiraf institusi JKM sebagai Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Calon SKM bidang penjagaan warga emas boleh menjalani latihan amali industri di RSK yang telah diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah SLDN.
“Di samping itu, KPWKM menerusi Institut Sosial Malaysia (ISM) turut menawarkan Kursus Peningkatan Kemahiran Sebagai Penjaga (Caregivers). Kursus ini memberi pendedahan kemahiran dan pengetahuan mengenai penjagaan asas terhadap warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan pesakit kronik terlantar yang berada di pusat jagaan.
“Ia juga memberi pemahaman dan pengetahuan mengenai keperluan kesihatan, pemakanan serta komunikasi dengan warga emas, OKU, kanak-kanak dan pesakit kronik terlantar yang berada di pusat jagaan,” katanya. – UTUSAN










