100,000 wajib sertai PLKN 3.0 tahun depan

100,000 wajib sertai PLKN 3.0 tahun depan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 100,000 orang bakal diwajibkan menyertai program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70,000 melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya menyasarkan penyertaan orang awam melalui kem wataniah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu akan dilaksanakan melalui IPT berdasarkan kajian dan proses penilaian keberkesanan yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, matlamat utama program itu untuk membentuk masyarakat yang mempunyai semangat cintakan negara, rasa tanggungjawab serta kesedaran terhadap peranan mereka dalam membantu menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kedua, rakyat perlu memahami erti kepatuhan dan perpaduan. Jika nilai ini tidak dijaga, kestabilan dan keselamatan negara boleh terjejas.

“Ketiga, rakyat yang memiliki nilai moral yang baik akan menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mohamed Khaled berkata, negara tidak melaksanakan khidmat negara (national service) secara menyeluruh, dengan mewajibkan berkhidmat kepada negara.

Namun, katanya, kerajaan mempunyai pendekatan tersendiri yang lebih sesuai dengan konteks tempatan.

“Malaysia memilih pendekatan terpilih dan berperingkat mengikut keperluan semasa. Berbeza dengan Singapura yang melaksanakan khidmat negara sepenuhnya kerana memiliki kemampuan kewangan untuk membayar semua peserta.

“Maknanya, walaupun tidak semua rakyat terlibat, semangat cintakan negara dan tanggungjawab menjaga keselamatan tetap perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.

“Atas dasar itulah, kerajaan sedang meneliti mekanisme pemilihan peserta program ini. Pelaksanaannya akan bersifat selektif tetapi wajib bagi mereka yang terpilih.

“Pemilihan pula dilakukan secara rawak menggunakan sistem pengenalan diri,” katanya.

PLKN mula diperkenalkan pada 30 Oktober 2002 dan pengambilan pertama bermula pada 16 Februari 2004. Ia sebagai suatu program yang merangkumi pelbagai modul latihan yang bertujuan untuk memperkasa jati diri remaja melalui empat aspek utama modul iaitu fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti.

Struktur latihan dalam PLKN merangkumi latihan asas tentera seperti kepemimpinan, ketahanan diri serta aktiviti asas kawad.

Modul-modul itu direka bentuk untuk membina jiwa yang berani, disiplin dan bertanggungjawab. Ditambah elemen pembentukan watak yang memfokuskan pada aspek sejarah, kedaulatan dan nilai-nilai murni serta khidmat masyarakat yang meliputi pelbagai aktiviti.

Program itu pernah dihentikan pada 2015 kerana isu penggunaan sumber kewangan yang besar, kira-kira RM700 juta setahun. Namun, pada 2016, PLKN dihidupkan semula sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah peserta yang lebih sedikit.

Pada 13 Ogos 2018, diumumkan pemansuhan PLKN bersama Biro Tata Negara (BTN) atas alasan salah guna. Bagaimanapun, menerusi pengumuman baharu, PLKN akan dilaksanakan semula dalam format yang lebih dinamik dan relevan dengan keperluan semasa.

Kerajaan bersetuju melaksanakan semula PLKN 3.0 dengan konsep dan format yang berbeza. Fasa PLKN ini akan terdiri daripada empat bahagian.

Fasa PLKN Asas dijangka dilaksanakan pada April 2026, melibatkan remaja 17 tahun dan ke atas.

Ia akan dilaksanakan dalam tempoh 45 hari di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam dan beberapa politeknik terpilih.

Konsep PLKN 3.0 akan memberikan perhatian lebih kepada modul asas kenegaraan dengan pecahan 70 peratus, berbanding latihan asas ketenteraan 30 peratus. Ini menunjukkan penekanan yang lebih besar terhadap pembangunan karakter dan tanggungjawab kenegaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN