Ulat teksi bergerak berkumpulan, tanggung risiko rugi bersama

Ulat teksi bergerak berkumpulan, tanggung risiko rugi bersama – Anthony Loke

Ulat teksi
ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Kegiatan ‘ulat teksi’ didapati bergerak secara berkumpulan dan mengamalkan perkongsian risiko bagi mengurangkan kerugian sekiranya salah seorang daripada mereka ditahan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata perkara itu dikesan berlaku terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di kedua-dua terminal menerusi siasatan pihak berkuasa terhadap kegiatan tersebut.

Malah, menurutnya, pihak berkuasa juga mendapati laba dituntut oleh pemandu terlibat mampu mencecah sekurang-kurangnya RM800 sehari.

“Setiap hari ada satu hingga dua kenderaan yang kita sita daripada kumpulan ini. Jika tidak ditahan, keuntungan mereka besar. Bayangkan, satu pelanggan bayar RM800 sehari, lima atau enam pelanggan seminggu sudah cukup untuk mereka jana pendapatan tinggi,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Tegasnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah menjalankan siasatan dan penguatkuasaan berterusan bagi membantera kegiatan sedemikian yang dikesan masih aktif menawarkan perkhidmatan sewa haram.

Anthony berkata, pihaknya memandang serius isu itu memandangkan kumpulan berkenaan dikesan menggunakan kenderaan sewa bagi mengelakkan tindakan undang-undang sekiranya disita pihak berkuasa.

“Modus operandi mereka licik. Kereta yang digunakan bukan milik sendiri sebaliknya disewa daripada syarikat atau individu. Jadi bila kenderaan disita, mereka tidak terjejas secara langsung,” jelasnya.

Sebelum ini seorang suspek dilaporkan ditahan JPJ dalam Operasi (Op) Ulat di KLIA selepas mengenakan caj RM836 kepada pelancong asing menggunakan kereta sewa haram.

Justeru, beliau memberi amaran kepada pemilik syarikat kereta sewa dan individu yang menawarkan perkhidmatan sewa supaya menyemak latar belakang penyewa.

“Jika kenderaan dilucut hak, pemilik yang akan rugi kerana itu aset mereka. Jadi pemilik juga ada tanggungjawab untuk memastikan kereta mereka tidak digunakan untuk aktiviti jenayah,” tegasnya.

Anthony berkata, bagi kes tersebut, kenderaan suspek telah ditahan manakala kes dibawa ke mahkamah untuk tindakan pelucutan hak.

“Kita juga sedang berbincang dengan polis bagi melihat sama ada tindakan di bawah undang-undang jenayah boleh diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.

Tambahnya lagi, kementeriannya akan meneliti semula peruntukan undang-undang sedia ada bagi menutup ruang yang digunakan sindiket tersebut untuk mengelak hukuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN