Tiga didakwa seleweng RM313j

Tiga didakwa seleweng RM313j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tokoh korporat yang juga pengarah Maju Holdings Sdn Bhd; Tan Sri Abu Sahid Mohamad dan isteri, Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM313 juta serta pengubahan wang haram berjumlah lebih RM200 juta.

Turut didakwa ialah ialah bekas pengarah sebuah syarikat yang juga pemegang konsesi Lebuh Raya Mex II, Datuk Yap Wee Leong, 68, bagi 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan bayaran kemajuan (progress claim) projek lebuh raya bernilai lebih RM300 juta, lapan tahun lalu.

Kesemua pertuduhan membabitkan cadangan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II) oleh pihak Maju Holdings Sdn. Bhd.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Abu Sahid, 74, didakwa atas empat pertuduhan pe­cah amanah membabitkan wang lebih RM313 juta dan 13 per­tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta.

Mengikut pertuduhan, ter­tuduh didakwa melakukan pe­­cah amanah dengan menya­lahgunakan wang milik sya­rikat berkenaan berjumlah RM313,124,617.02 di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini di antara 3 Mei 2016 dan 21 Oktober 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun beserta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Abu Sahid turut didakwa atas 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Tertuduh juga didakwa atas tiga pertuduhan melupus­kan hasil daripada aktiviti ha­ram iaitu wang RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 17 keping cek da­ripada akaun miliknya di bank sama di antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.

Kesemua 13 pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di hadapan Ha­kim Rosli Ahmad pula, Noor Azrina, 48, didakwa atas satu pertuduhan menerima hasil da­ripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM67,136,588.43 menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik suaminya di bank sama di antara 6 Mac dan 27 November 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta sama yang membawa hukuman serupa.

Di mahkamah sama, Wee Leong, yang juga pemegang konsesi Lebuh Raya Mex II raya mengaku tidak bersalah bagi 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu membuat tuntutan bayaran kemajuan (progress claim) projek lebuh raya sama.

Mengikut semua pertuduhan, Wee Leong didakwa telah menggunakan sebagai tulen 17 dokumen tuntutan bayaran kemajuan dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM314.48 juta bagi kerja-kerja pembersihan tapak, kerja sementara, kerja tanah, kerja geoteknikal, kerja perparitan dan kerja turapan (Subgred) (CH23,000 – CH35,770).

Perbuatan itu didakwa dila­kukan antara Jun 2017 dan April 2018 di Maju Holdings Sdn. Bhd., Aras 21, Maju Tower, 1001, Jalan Sultan Ismail di sini.

Kesemua pertuduhan dike­mu­kakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan bo­leh dihukum di bawah Sek­syen 465 akta sama yang mem­peruntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.
Abu Sahid dan Azrina diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Wee Leong diwakili peguam bela, Abdul Hakeem Aiman.

Semasa prosiding semalam, Ahmad Akram mencadangkan jaminan sebanyak RM1.5 juta terhadap Abu Sahid dan RM500,000 kepada isterinya dengan seorang penjamin warganegara serta pasport kedua-dua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagi Wee Leong, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM1 juta bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara tempatan termasuk syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan wang jamin sebagaimana dicadangkan oleh pen­dakwaan selepas peguam-peguam bela yang mewakili kesemua tertuduh tidak membantah terhadap jumlah tersebut yang disifatkan sebagai satu amaun yang wajar dan adil.

Difahamkan, SPRM akan mendakwa semula Abu Sahid dan Wee Leong dalam tempoh terdekat berhubung beberapa pertuduhan tambahan membabitkan projek lebuh raya sama.

Menurut Ahmad Akram, Abu Sahid berdepan tujuh lagi tuduhan pecah amanah RM145 juta sementara Wee Leong pula akan didakwa atas 18 pertuduhan baharu iaitu sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bernilai RM209 juta dan sembilan lagi di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001 melibatkan dana RM387 juta.

Kesemua pertuduhan baharu itu akan dikemukakan dalam masa terdekat manakala sebutan semula kes 3 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×