NEW DELHI: Pasukan siasatan khas yang dilantik Mahkamah Agung India mengesahkan proses pengambilan haiwan di Vantara, sebuah zoo persendirian milik anak jutawan Asia, Mukesh Ambani, dilakukan mengikut undang-undang.
Pasukan itu terdiri daripada hakim bersara yang ditugaskan bulan lalu bagi menyiasat dakwaan haiwan di zoo berkenaan diperoleh secara tidak sah.
Dalam laporan terbaharu semalam, pasukan tersebut menyatakan tidak menemukan sebarang salah laku dalam pengurusan Vantara.
Sebelum ini, Mahkamah Agung turut menyifatkan tuduhan berkenaan tidak mempunyai asas kukuh, namun tetap mengarahkan siasatan bebas dijalankan berikutan dakwaan pihak berkuasa gagal menyiasat zoo berkenaan dengan teliti.
Pengurusan Vantara dalam kenyataan menyambut baik keputusan itu, menegaskan siasatan tersebut membuktikan segala keraguan dan dakwaan sebelum ini tidak berasas.
Zoo persendirian seluas 3,500 ekar yang terletak di Jamnagar, Gujarat itu menempatkan kira-kira 2,000 spesies haiwan termasuk gajah, harimau dan pelbagai haiwan eksotik lain.
Vantara yang dirasmikan Perdana Menteri, Narendra Modi pada Mac lalu, turut menjadi tumpuan dunia apabila dijadikan antara lokasi majlis pra-perkahwinan mewah Anant Ambani tahun lalu.
Walaupun ditutup kepada orang awam, zoo itu tetap menerima kritikan aktivis hidupan liar yang mendakwa iklim panas dan kering di kawasan berkenaan tidak sesuai untuk sesetengah haiwan.
Kontroversi turut tercetus Julai lalu apabila seekor gajah yang sakit dari sebuah kuil di Kolhapur, Maharashtra dipindahkan ke Vantara selepas keputusan mahkamah tinggi.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung semalam menolak permohonan yang membantah pemindahan haiwan tersebut dengan alasan siasatan bebas sudah membuktikan tiada salah laku pihak berkuasa. -AGENSI











