KUALA PILAH: Berbekalkan semangat dan hasrat arwah bapa yang ingin legasi pembuatan roti disambung oleh anak-anaknya, seorang pemuda kini cekal memikul tanggungjawab tersebut.
Muhammad Syuaib Muhammad Hassan Khan, 23, berkata, legasi pembuatan roti keluarganya bermula daripada arwah datuknya yang mula membuat roti sekitar tahun 1974 lalu disambung pula oleh bapa saudara dan arwah bapanya.
“Legasi pembuatan roti ini bermula daripada arwah datuk sejak tahun 1974. Selepas datuk meninggal dunia, bapa saya mengambil alih dan menguruskan kedai bakeri milik di Jempol manakala bapa saya mengusahakan perniagaan pembuatan roti di bangsal hadapan rumah kami yang terletak di Taman Rumah Rakyat Air Mawang menggunakan resipi datuk saya.
“Sejak kecil lagi, saya memang telah didedahkan cara pembuatan roti yang diajar oleh bapa namun selepas dia meninggal dunia pada tahun 2018, saya banyak menolong bapa saudara pula. Jadi, daripada situlah saya banyak belajar tentang pembuatan roti, pastri dan pengurusan perniagaan” katanya ketika ditemui di kedai roti miliknya di pekan Johol di sini.
Syuaib berkata antara jenis roti dan pastri yang dihasilkanya termasuklah roti krim, roti kacang, roti sosej, roti kelapa dan roti paun.
Tambahnya, dia juga menjadi pembekal untuk beberapa buah sekolah di sekitar kawasan Johol selain turut menerima tempahan untuk pelbagai majlis dan program.
“Pernah satu hari, ada pelanggan daripada Singapura singgah bersama keluarganya untuk membeli roti saya selepas dicadangkan oleh saudaranya yang tinggal di pekan ini, mereka memuji roti yang saya hasilkan lembut dan sedap serta siap borong untuk dibawa pulang.
“Memang tidak dinafikan juga ada harinya saya mengalami kerugian akibat tiada jualan tetapi bagi saya, kita perlu belajar daripada kegagalan jika ingin berjaya dalam perniagaan dan belajar untuk menjadi lebih baik,” katanya yang kini dibantu sahabatnya Muhammad Azlan Azli, 26, dalam pengurusan kedai dan menyiapkan tempahan roti.-UTUSAN.










