‘Terima kasih UKM, pemimpin setempat’

‘Terima kasih UKM, pemimpin setempat’

Ketua Biro Pendidikan Latihan dan Akademik MPN PKR Pahang, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada Muhammad Aidil Izzuddin (belakang, kiri) di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Setelah kisah seorang pelajar, Muhammad Aidil Izzuddin Akhbar Nizam, 19, yang tiada wang untuk membayar yuran pendaftaran masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di­siarkan Utusan Malaysia, pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pemimpin setempat dan dermawan tampil menghulurkan bantuan bagi membolehkannya meneruskan pengajian di universiti tersebut.

Ibu pelajar berkenaan, Fazziah Abdullah, 47, berkata, wakil kerajaan negeri, UMNO Bahagian Jerantut, Majlis Pembangunan Wanita Pahang, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Pengurusan Hal Ehwal pelajar (HEP) UKM dan dermawan tampil menghulurkan bantuan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada penyumbang berkenaan yang segera membantu bagi membolehkan Muhammad Aidil Izzuddin melanjutkan pengajian ke UKM bermula pendaftaran pada 27 September ini.

“Selain pemimpin setempat, saya cukup terharu apabila Pengurusan HEP UKM menghubungi kami untuk membantu menyelesaikan urusan wang pendaftaran berjumlah RM1,200 serta peralatan tinggal di asrama,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.

Menurut Fazziah, tanpa bantuan tersebut, anak kedua daripada empat beradik itu mungkin tidak dapat memulakan pengajian di UKM lantaran dia dan suaminya, Akhbar Nizam Hamzah yang tidak bekerja akibat dise­rang penyakit angin ahmar sejak enam tahun.

“Saya cuma menghantar (menjual) kuih di kedai kawasan Felda ini dengan pendapatan harian sebanyak RM40 langsung tidak boleh menampung keperluan Muhammad Aidil Izzuddin cuma hanya cukup perbelanjaan keperluan barang dapur dan modal berniaga,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aidil Izzuddin yang akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Laut) berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan bagi membolehkan dia terus bersemangat dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke universiti tersebut nanti.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×