Tekong terjun Sungai Golok, enam PATI ditahan - Utusan Malaysia

Tekong terjun Sungai Golok, enam PATI ditahan

SEBAHAGIAN pati yang ditahan PGA dalam serbuan di pangkalan haram kebun di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang tekong darat yang membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar bertindak nekad dengan terjun ke Sungai Golok dan melarikan diri ke Thailand selepas diserbu anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram kebun di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 6.30 pagi itu, kesemua enam PATI ditahan selepas anggota bertugas mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, sejurus menyedari kehadiran anggota PGA suspek yang bertindak sebagai tekong darat terus bertindak terjun ke dalam Sungai Golok.

Katanya, suspek telah melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu bagi menggelakan ditahan anggota PGA.

“Pemeriksaan ke atas MPV itu telah menjumpai enam PATI yang terdiri daripada empat wanita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu dibawa masuk ke negara ini melalui pangkalan haram.

Katanya, PATI itu telah diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Tumpat untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN