Fenomena kanak-kanak mengalami kelewatan pertuturan dan sensori semakin membimbangkan dalam kalangan ibu bapa.
Jika dahulu isu ini jarang dibincangkan secara terbuka, kini semakin ramai ibu bapa tampil mendapatkan bantuan profesional.
Pengasas Autism Behavioral Centre (ABC), Charlene Samuel berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap perkembangan kanak-kanak.
Tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan tahun-tahun awal yang paling penting dalam perkembangan seorang kanak-kanak iaitu lima tahun pertama kehidupan.
“Sepanjang tempoh itu, ramai kanak-kanak membesar tanpa peluang berinteraksi secara sosial, bermain di luar rumah atau melakukan aktiviti sensori seperti bermain pasir dan air.
“Sebaliknya, mereka banyak menghabiskan masa di depan skrin kerana ibu bapa juga perlu bekerja dari rumah,” katanya baru-baru ini.
Tambah Charlene, faktor gaya hidup moden turut menyumbang kepada situasi ini.
“Kita lihat semakin ramai ibu bapa bekerja sepenuh masa dan dalam usaha mengimbangi kerjaya serta tanggungjawab di rumah, skrin sering dijadikan penyelesaian mudah untuk menenangkan atau menghiburkan anak.
“Walaupun skrin tidak sepenuhnya ‘buruk’, namun masa yang diambilnya daripada aktiviti bermain dan berinteraksi adalah sangat berharga kerana itulah masa di mana pembelajaran sebenar berlaku,” katanya.

TANDA AWAL
Tanda-tanda awal kelewatan pertuturan dan sensori boleh dilihat daripada beberapa sudut.
Antara tanda halus yang sering ibu bapa terlepas pandang termasuk kurangnya kontak mata, tidak memberi tindak balas apabila dipanggil, tidak menunjukkan jari atau bercakap untuk meminta sesuatu atau gagal mengenal pasti ibu dan ayah apabila ditanya.
“Ada juga yang menolak makanan pejal atau hanya makan jenis makanan tertentu. Ini semua boleh menjadi petunjuk awal kepada isu sensori,” katanya.
Tambahnya, tanggapan kanak-kanak yang ‘lambat bercakap’ akan mengejar semula perkembangan tanpa bantuan adalah satu salah faham yang biasa.
“Ada kanak-kanak yang hanya mengalami kelewatan bahasa semata-mata dan mereka mungkin akan catch up.
“Namun, jika kelewatan itu disertai dengan masalah kefahaman seperti tidak boleh mengikut arahan mudah atau tidak mengenal objek asas, itu bukan sekadar isu pertuturan dan perlu dirujuk segera untuk intervensi,” katanya.
Namun, kesedaran ibu bapa kini semakin baik, terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.
Jika dahulu, kebanyakan kanak-kanak hanya mula mendapat intervensi sekitar umur enam hingga lapan tahun, kini ramai yang dirujuk seawal 16 bulan hingga dua tahun setengah.
“Ini menunjukkan peningkatan besar daripada segi kesedaran dan akses kepada perkhidmatan intervensi,” ujarnya.
Mengulas situasi terapi di Malaysia, Charlene mengakui terdapat banyak pilihan di Lembah Klang, tetapi akses masih sukar bagi keluarga di luar bandar.
“Kualiti rawatan banyak bergantung kepada kemampuan keluarga. Keluarga yang mampu biasanya dapat mengakses rawatan terbaik.
“Inilah jurang yang cuba kami isi di ABC untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti dengan pendekatan yang mesra dan efektif,” jelasnya.
Terbaharu, Charlene turut melancarkan Speech Academy yang menyediakan suasana terapi menyeronokkan dan berasaskan permainan.
“Kanak-kanak belajar melalui bermain. Ia adalah medium utama untuk menguasai pertuturan, kemahiran sosial dan kemahiran hidup.
“Kami mahu mereka datang ke pusat terapi dengan rasa gembira, bukan tertekan. Ruang yang ceria dan mesra kanak-kanak membantu mereka berkembang lebih cepat,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu kekurangan tenaga profesional dalam bidang terapi pertuturan dan cara kerja di negara ini.
“Kita kekurangan pakar bertauliah, universiti yang menawarkan program ini masih sedikit dan jumlah pelajar yang dilahirkan setiap tahun tidak mencukupi.
“Kerajaan dan pihak swasta perlu melabur lebih banyak untuk menarik minat golongan muda dalam bidang ini,” katanya.
Charlene turut berkongsi kisah ramai keluarga yang berjaya melihat anak mereka akhirnya bersekolah di arus perdana setelah bertahun-tahun berjuang.
“Setiap kali kami lihat anak-anak ini mencapai sesuatu yang dulu dianggap mustahil, kami sedar inilah sebab kami terus melakukan kerja ini, demi setiap anak dan keluarga yang tidak pernah berputus asa,” katanya.










