Misi besar gilap pelapis muda bola sepak

Misi besar gilap pelapis muda bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pembabitan pemuda ini dalam arena kejurulatihan bermula apabila diberi kepercayaan menerajui pasukan bola sepak di tadika milik isterinya di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 2019.

Mohamad Uzair Othman, 35, mengurus, membimbing dan melatih pemain berusia enam tahun hingga dapat menyertai Kejohanan Sukan Bola Sepak di daerah itu.

Namun, misi besarnya untuk membawa pulang kejuaraan kali pertama tidak kesampaian.

Walaupun sedikit kecewa, tetapi dia tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan pemain ciliknya.

Pengalaman itu sekali gus mendorong lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini untuk melangkah lebih jauh dalam dunia kejurulatihan.

Mohamad Uzair memilih berguru dengan Patrick Loo dan Zahiruddin Amiruddin.

Dia berjaya memiliki lesen kejurulatihan akar umbi yang diiktiraf Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Membimbing murid berusia antara 5 hingga 12 tahun bukan mudah dan setiap jurulatih perlu memiliki tahap kesabaran tinggi untuk mendalami jiwa mereka.

“Tetapi jika tidak dilentur buluhnya, manakan dapat hasilnya apabila dewasa nanti,” katanya baru-baru ini.

Kemampuannya terserlah apabila skuad bola sepak kendaliannya mampu menjulang kejuaraan di peringkat Kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut.

Tubuh kelab bola sepak
Mohamad Uzair kemudian memberanikan diri menubuhkan Kelab Bola Sepak Khalifah Bersatu atau Caliph United FC pada tahun lalu.

Ia bertepatan misinya untuk membimbing kanak-kanak dalam sukan bola sepak bermula dari akar umbi.

Walaupun masih baru, tetapi kelab itu kini berjaya menarik minat seramai 80 pelatih.

Tambahan pula kadar yuran yang dikenakan amat berpatutan iaitu RM130 untuk pendaftaran manakala bulanan pula sebanyak RM50.

“Kami mempunyai enam tenaga pengajar dan menerapkan modul pelajaran seperti passing, striking, run dan one versus one.

“Bukan itu sahaja, latihan penjaga gol pun turut disediakan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pencarian pelapis muda yang hebat, berkualiti dan berbakat besar dalam arena bola sepak dibuat berdasarkan beberapa kriteria.

Setiap pemain perlu berdisiplin dan sentiasa menerapkan adab sahsiah ketika menimba ilmu.

“Pemain kreatif dan bijak mudah dibentuk lebih-lebih lagi jika ada minat dan usaha berterusan. Kebiasaannya pemain seperti ini akan berjaya walaupun tidak dinilai melalui kejuaraan atau pingat,” jelasnya.

Selain itu, faktor-faktor lain ialah pengambilan makanan berkhasiat, supplemen, tidur mencukupi, rajin berlatih walaupun di luar padang untuk memantapkan lagi skil serta mutu permainan.

 

Impi pelatih wakili Malaysia
Seperti kebanyakan jurulatih lain, Mohamad Uzair turut mengimpikan pemainnya dapat beraksi sehingga ke peringkat tertinggi.

Ia termasuk mewakili negara atau bermain untuk mana-mana pasukan di Liga Malaysia di masa akan datang

“Besar harapan saya agar mereka dapat menimba ilmu dengan tekun dan terus bermain bola sehingga meniti usia dewasa.

“Di zaman serba mencabar ini, sukan bola sepak tidak dapat lari daripada masalah ketagihan gajet, justeru saya menasihati pemain supaya sentiasa memberi fokus pada latihan dan jangan mensia-siakan kepercayaan jurulatih,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN