Tawar khidmat lupus al-Quran jika terkesan gempa

Tawar khidmat lupus al-Quran jika terkesan gempa

JEFRI Maskuri menunjukkan bahan bercetak ayat suci Al-Quran yang terjejas untuk dilupuskan di pusat pelupusan bahan bercetak ayat suci dan Al-Quran di Masjid Taman Yayasan, Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Pusat pelupusan bahan bercetak mengandungi ayat suci dan al-Quran di Masjid Taman Yayasan di sini, menawarkan khidmat pelupusan jika ada bahan-bahan yang rosak akibat bencana gempa bumi.

Penyelia yang juga sukarelawan pusat pelupusan al-Quran, Jefri Maskuri, 70, berkata, akti­viti pelupusan dilakukan menggunakan insinerator atau tempat pembakaran khas secara tertib berdasarkan syarak.

“Pusat pelupusan atau pembakaran itu mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram (kg) bahan bacaan ayat suci yang terjejas yang sudah kering dan dibersihkan hampir 100 peratus.

“Berdasarkan pengalaman banjir yang lalu, banyak bahan bercetak ayat suci ini yang rosak, basah dan terjejas akibat bencana alam itu. Proses membakar bahan cetak ayat suci itu dilakukan secara berkala dan mengambil masa dalam tempoh 24 hingga 26 jam.

“Kami mengambil tempoh yang agak panjang untuk melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci kerana jumlahnya adakala me­ningkat mendadak di luar jangka, terutama sekali pada musim kecemasan melanda seperti ban­jir dan gempa bumi,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Jefri berkata, perkhidmatan pelupusan itu hanya mengenakan caj RM5 sekilogam kerana tidak mahu membebankan mang­sa bencana.

“Aktiviti pelupusan dilakukan bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat suci dan ia dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan syarak. Ia diadakan secara berkala tanpa mengira waktu jika terdapat permintaan mengejut daripada penduduk serta keperluan semasa.

“Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kariah setempat serta pihak pengurusan masjid dan surau sekitar Segamat turut membantu mengumpul dan melupuskan al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang terjejas akibat bencana alam,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×