MUAR: Bertekad melupakan keperitan sebagai bekas tahanan Kem Guantanamo selain mahu membuka lembaran baharu dalam kehidupan membawa kepada keputusan Mohammed Nazir Lep, 49, mendirikan rumah tangga.
Majlis perkahwinan Mohammed Nazir dan pasangannya berlangsung dalam satu majlis sederhana di Kampung Jeram Masjid, Bakri, di sini, kelmarin.
Majlis itu dihadiri oleh ahli keluarga terdekat, rakan-rakan serta beberapa kenalan rapat yang turut berkongsi kegembiraan pasangan itu.
Anak saudara lelaki itu, Muhammad Hazizi Najib, 37, berkata, pihak keluarga memberikan sokongan dalam usaha Mohammed Nazir atau mesra dipanggil Pak J untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas sekian lama melalui cabaran.
“Daripada segi penerimaan dan sokongan, rata-rata ahli keluarga termasuk saudara-mara memberikan sokongan sepenuhnya.
“Penerimaan keluarga juga sangat positif, sejak awal kami mendapat tahu kepulangan Pak J, hingga kini kami sentiasa berada di sisinya.
Masyarakat kampung pula, setakat yang saya dengar Alhamdulillah semuanya menerima Pak J dengan baik,” katanya.-UTUSAN.










