PETALING JAYA: Sindiket penipuan atau scammer mengaut keuntungan sebanyak RM3.1 bilion bagi tempoh 19 bulan sepanjang tahun 2024 hingga Julai lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 67,317 kes penipuan berlaku dengan purata kira-kira 118 kes dilaporkan berlaku setiap hari di negara ini akibat ditipu ‘scammer’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebanyak 35,368 kes dengan kerugian RM1.57 bilion dicatatkan pada 2024, manakala 31,949 kes dilaporkan dengan kerugian RM1.53 bilion sepanjang tujuh bulan tahun ini sejak Januari hingga Julai lalu.
Beliau berkata, dalam tempoh terbabit, jenayah telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi iaitu 28,134 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM941.35 juta.
“Sebanyak 11,653 kes pelaburan tidak wujud dengan kerugian mencecah RM1.76 bilion diikuti jenayah e-dagang (RM145.08 juta) dan 7,878 kes berkaitan pinjaman tidak wujud (RM76.62 juta).
“Selain itu, sebanyak 3,991 kes membabitkan jenayah e-kewangan dengan nilai kerugian RM108.9 juta dan 1,297 kes love scam melibatkan kerugian RM68.8 juta.
“Analisis mendapati sindiket penipuan masih menggunakan modus operandi menyamar sebagai penjawat awam, penguatkuasa atau wakil-wakil bank bagi menjerat mangsa-mangsa di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Rusdi berkata, kira-kira 39 peratus daripada jumlah kes dicatatkan tahun lalu berjaya dituduh manakala sebanyak 27 peratus untuk kes tahun ini telah didakwa di mahkamah.
“Dalam tempoh 19 bulan ini, sebanyak 22,614 kes Berjaya dituduh melibatkan 13,961 bagi 2024 manakala 8,653 pada Januari hingga Julai lalu,” katanya.
Mengulas mengenai pemulangan wang terhadap mangsa penipuan, Rusdi berkata, mereka boleh mendapatkan semula wang yang ditipu ‘scammer’ melalui proses ditetapkan di bawah Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Katanya, seksyen ini menyediakan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pemulangan harta termasuk wang yang dirampas atau diperoleh hasil daripada jenayah kepada pemilik asal termasuk kes penipuan dalam talian.
“Jika tiada wang yang dapat dirampas semasa proses siasatan, mahkamah mungkin tidak dapat mengarahkan pemulangan,” ujarnya. – UTUSAN










