PETALING JAYA: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) tetap diteruskan walaupun selepas kapal dinaiki lebih 500 sukarelawan itu diserang Israel menerusi beberapa taktik termasuk gangguan komunikasi.
GSF dalam kenyataannya berkata, serangan itu tidak akan menggugat misi kemanusiaan dan usaha menembusi sekatan haram zionis itu untuk sampai ke Gaza.
“Tindakan melampau yang dilakukan Israel dan sekutunya untuk meneruskan kebuluran dan genosid di Gaza amat menjijikkan. Namun tekad kami lebih kuat daripada sebelumnya.
“Taktik ini tidak akan menghalang misi kami untuk menghantar bantuan ke Gaza dan memecahkan sekatan haram. Setiap cubaan menakut-nakutkan kami hanya menguatkan lagi komitmen kami.
“Kami tidak akan dibisukan. Kami akan terus belayar,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan beberapa bot peserta GSF yang kini dalam pelayaran memasuki zon kuning ke Gaza diserang oleh dron Israel.
Insiden ini dilaporkan berlaku susulan ugutan berterusan dan penyebaran maklumat palsu Israel bagi merosakkan imej serta membahayakan lebih 500 sukarelawan awam yang membawa bantuan ke Gaza.
Antara wakil Malaysia yang menyertai misi pelayaran itu adalah selebriti, Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi, pempengaruh media sosial Farah Lee serta beberapa aktivis kemanusiaan termasuk Nadir Nuri dan Zainal Rashid.
Sementara itu, Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, serangan dron yang berlaku kira-kira pukul 11.40 malam itu (Selasa) menyasarkan sembilan bot yang dalam pelayaran.
Kongsinya, tentera Israel melancarkan serangan dron menggunakan bom kilat yang kebiasaannya digunakan dalam sesi latihan pasukan keselamatan.
“Bunyi bom yang meletup sangat kuat dan menghasilkan cahaya yang terang di udara. Ia kemudian menghasilkan bau gas yang busuk. Alhamduillah, bot yang saya naiki tidak terkena serangan itu.
“Dron itu menyasarkan sembilan bot dan tiga daripadanya dinaiki peserta dari Sumud Nusantara termasuk dari Malaysia.
“Ini adalah cubaan awal tentera Israel untuk menakutkan peserta dan menghentikan misi ini. Kita jangka lebih banyak serangan lain akan berlaku,” katanya. – UTUSAN










