Sepanyol batal kontrak pembelian senjata buatan Israel

Sepanyol batal kontrak pembelian senjata buatan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Kerajaan Sepanyol membatalkan kontrak bernilai hampir 700 juta euro (RM3.46 bilion) bagi pembelian pelancar roket buatan Israel, susulan langkah Perdana Menteri Pedro Sanchez mengharamkan urus niaga ketenteraan dengan Tel Aviv.

Dokumen rasmi yang diperoleh semalam mengesahkan pembatalan kontrak tersebut yang sebelum ini diberikan kepada konsortium syarikat tempatan bagi mendapatkan 12 sistem pelancar roket SILAM, berasaskan platform PULS keluaran syarikat Israel, Elbit Systems.

Tindakan itu dilaksanakan pada 9 September, sehari sebelum Sanchez mengumumkan dekri baharu yang menghalang sebarang penjualan atau pembelian kelengkapan ketenteraan dengan Israel, sebagai bantahan terhadap serangan berterusan rejim tersebut di Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan media tempatan dan akhbar Israel, Haaretz, pembatalan itu turut disusuli dengan penamatan kontrak lain bernilai 287 juta euro (RM1.42 bilion) melibatkan 168 pelancar peluru berpandu anti-kereta kebal yang dikeluarkan di bawah lesen Israel.

Akhbar La Vanguardia melaporkan, kerajaan Sepanyol kini sedang menilai semula secara menyeluruh penggunaan senjata dan teknologi ketenteraan Israel dengan rancangan untuk menamatkannya secara berperingkat.

Sanchez muncul sebagai pemimpin Eropah paling lantang mengkritik dasar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung Gaza dan hubungan antara kedua-dua negara terbabit semakin tegang sejak Madrid mengiktiraf negara Palestin pada 2024, langkah yang menyebabkan Israel menarik pulang duta mereka dari Sepanyol.

Minggu lalu, Sepanyol turut memanggil pulang dutanya di Tel Aviv selepas pertikaman lidah tercetus berhubung langkah baharu kerajaan Sanchez.

Institut penyelidikan keselamatan Delas Center di Barcelona menganggarkan, sejak tercetusnya perang Gaza, Sepanyol telah menganugerahkan 46 kontrak bernilai AS$1.044 bilion (RM4.39 bilion) kepada syarikat Israel berdasarkan data tender awam. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN