PETALING JAYA: Sentimen Sabah for Sabahan (Sabah untuk orang Sabah) bakal menjadi tunjang utama kempen parti politik di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang untuk meraih undi.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, personaliti dan sentimen Sabah itu masih kuat di mana mereka melihat calon ataupun parti dari semenanjung itu sebagai musuh mereka.
Katanya, walaupun kecenderungan itu tidak sihat, kempen bersifat sentimen seperti ini tetap akan digunakan, khususnya melibatkan persaingan antara Parti Warisan (Warisan) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bekerjasama dengan parti-parti dari Semenanjung.
“Warisan dilihat kuat walaupun berseorangan kerana itu yang pengundi Sabah mahu.
“Warisan yang tidak bekerjasama dengan parti Semenanjung dilihat lebih kuat dan lebih baik berbanding GRS yang menjalinkan kerjasama dengan parti luar, dan faktor itulah yang menjadikan Warisan lebih popular dalam kalangan pengundi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Warisan optimis menang pada PRN Sabah berdasarkan senario politik semasa di peringkat negeri dan Persekutuan walaupun memutuskan untuk bergerak secara solo tanpa kerjasama dengan parti lain.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bersatu dan mengundi parti yang tidak boleh dikawal oleh mana-mana parti nasional di peringkat Persekutuan.
Katanya, PRN Sabah adalah tentang memilih pemimpin negeri dan ia menjadi bukti sama ada rakyat Sabah benar-benar mahu menjadi seperti Sarawak.
Sementara itu, Pakar Komunikasi Politik, Perhubungan Awam Kerajaan dan Perang Saraf dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, sentimen itu masih kuat namun ia bukan satu-satunya faktor penentu dalam setiap PRN Sabah nanti.
Katanya, sentimen itu juga tampak masih dimanipulasi oleh ahli-ahli politik, tetapi isu-isu ekonomi dan pembangunan kekal sebagai penentu utama.
“Rakyat Sabah, seperti rakyat di negeri lain juga, mereka sebenarnya risau tentang kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan yang terhad dan ketiadaan pembangunan infrastruktur yang mencukupi.-UTUSAN.










