KOTA KINABALU: Saksi kedua kanak-kanak dalam inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan terdapat unsur buli di Asrama Qurratu ‘Ayun, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah.
Asrama tersebut mempunyai dua blok kediaman pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah yang merupakan blok kediaman Zara Qairina dan lokasi remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu dan Blok B, Sumayyah.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili Pelajar A ketika ditemui media selepas Mahkamah Koroner berhenti pada waktu tengah hari semalam.
Pelajar A yang merupakan salah seorang daripada lima remaja didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mencela terhadap Zara Qairina.
“Saksi kanak-kanak kedua sedang beri keterangan dan setakat ini keterangan yang diberikan adalah okey. Terdapat dakwaan mengenai buli tetapi tidak membabitkan anak guam kami, Pelajar A. Berdasarkan keterangan saksi ini, terdapat unsur buli, terdapat salah faham dan kecurian berlaku,” kata Ram.
Sementara itu, Joan Goh, seorang lagi peguam mewakili Pelajar A ketika ditemui berkata, segala dakwaan yang membawa kejadian malang itu bermula daripada tuduhan mencuri.
“Kesemuanya bermula dengan dakwaan membabitkan kes curi. Ia rentetan daripada beberapa kes terdahulu dan terkumpul pada hari kejadian.
“Saya rasa, apabila terdapat tuduhan mencuri di asrama, penghuni yang ada cuba mencari punca kejadian,” kata peguam itu.
Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi kanak-kanak kedua yang juga saksi inkues ke-10, menunjukkan ketika Zara Qairina disoal jawab, bahawa Pelajar A tidak berada di bilik asrama kerana sedang membasuh pakaian.
Berdasarkan keterangan ketua warden, Azhari Abd. Sagap, lima pelajar mengaku menjalankan soal siasat terhadap Zara Qairina sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri di aras bawah asramanya.
Zara Qairina duduk di bilik A3-5 manakala dia dipanggil untuk disoal siasat di bilik A3-6. Setiap bilik menempatkan 11 pelajar.
Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak sekolah, pada malam sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, ketua dorm telah menerima aduan mengenai kehilangan barang iaitu wang, kad pengenalan dan kad bank.
Selepas disoal siasat, Zara Qairina kembali ke biliknya sambil menangis dan turut berteriak ‘aku tak curi bah, bodoh!’.
Zara Qairina kemudian dilihat keluar dari bilik menuju ke tandas yang merupakan lokasi terakhir remaja itu dilihat sebelum ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di aras bawah blok asrama berkenaan.
Sementara itu saksi sama memberitahu, Zara Qairina telah ditahan dan dikepung di satu sudut dorm.
Ia berlaku beberapa jam sebelum remaja terbabit ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian itu, beberapa pelajar yang menyoal siasat Zara Qairina turut mentertawakan remaja terbabit selepas mengetahui hasratnya untuk menjadi Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian).
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam-peguam, Rizwandean M. Borhan dan Shahlan Jufri ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding inkues yang memasuki hari ke-13 semalam.
“Saksi kanak-kanak ini telah memberikan keterangan yang terperinci dan agak jelas tentang apa yang berlaku ada malam kejadian (15 Julai lalu) yang melibatkan arwah Zara,” katanya.-UTUSAN.










