KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mengerahkan aset sedia untuk mengukuhkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sebaik sahaja kerja-kerja merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berjalan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain itu kerjasama dengan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (APKS) akan terus diperkemaskan bagi memastikan sempadan negara berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, usaha untuk merobohkan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand merupakan salah satu usaha bagi mengekang penyeludupan dadah ke negara ini.
“Bagaimanapun, saya percaya sindiket penyeludupan akan menggunakan pendekatan atau jalan lain untuk terus menjalankan kegiatan tersebut selepas ini.
“Kita akan melihat ruang dan kelonggaran yang membolehkan sindiket penyeludpan menyeludup dadah selepas ini” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 212 pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok di negeri ini dirobohkan dalam masa terdekat sepertimana diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa yang berlangsung di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA,) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, jawatankuasa berkenaan turut bersetuju melantik empat jajahan yang berada di sepanjang Sungai Golok, iaitu Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli untuk mengetuai kerja-kerja perobohan itu.-UTUSAN