Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis terima Anugerah Dewan Kehormatan - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis terima Anugerah Dewan Kehormatan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) bersama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua dari kanan) berkenan menerima Anugerah Dewan Kehormatan dari Universitas Deztron Indonesia. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN, INDONESIA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima Anugerah Dewan Kehormatan dari Universitas Deztron Indonesia, hari ini.

Menerusi penganugerahan itu, Tuanku Syed Faizuddin menerima pengiktirafan bagi Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah manakala Tuanku Lailatul Shahreen pula menerima Anugerah Bakti Mulia Ubudiyah.

Penganugerahan tersebut sebagai pengiktirafan kepada baginda berdua atas sumbangan dalam memartabatkan pendidikan, memperkukuh kebajikan dan menegakkan kepimpinan berwawasan di peringkat serantau.

Keberangkatan baginda pada majlis penganugerahan itu disambut oleh Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli bersama Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Prof. Emeritus Datuk Ts. Dr. Kamarudin Hussin.

Majlis penganugerahan itu juga merupakan sebahagian daripada agenda di bawah Ekspedisi Ilmu FCoEE-MAIPs yang menghimpunkan siri program akademik, jaringan kerjasama dan penghargaan antarabangsa sebagai usaha memperkukuh peranan pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan penghargaan kepada Universitas Deztron Indonesia di bawah pimpinan Prof. Dr. Marniati serta Yayasan Ubudiyah Indonesia dipimpin oleh Dedi Zefrizal di atas penganugerahan itu.

Baginda bertitah, penganugerahan itu disifatkan sebagai simbol tanggungjawab luhur dan pengiktirafan terhadap usaha memperkasa ilmu serta kebajikan.

“Anugerah ini juga memperteguhkan iltizam Raja Puan Muda Perlis dan saya sendiri untuk terus berkhidmat, mengangkat martabat ilmu dan menyinari kehidupan umat dengan cahaya harapan,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menegaskan bahawa hubungan istimewa antara Malaysia-Indonesia perlu diperkukuh melalui bidang pendidikan memandangkan ia adalah merupakan kunci utama transformasi masyarakat.

Titah baginda, didikan buat anak bangsa merupakan salah satu usaha bagi pembinaan sebuah negara yang bermaruah, mempunyai ketahanan dan mampu bersaing.

“Kepada generasi muda, jangan pernah gentar untuk bermimpi besar dan jadikan ilmu sebagai senjata serta perisai dalam menempuh apa jua cabaran,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN