Raja Muda Perlis berkenan tinjau pembangunan Auditorium Berkemajuan UMSU - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis berkenan tinjau pembangunan Auditorium Berkemajuan UMSU

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan meninjau perkembangan pembangunan Auditorium Berkemajuan dan Walidah Sports Hall di UMSU, Medan, Indonesia. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN, INDONESIA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Deli Serdang, di sini, bagi melawat pembangunan Auditorium Berkemajuan dan Walidah Sports Hall di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).

Keberangkatan baginda disambut oleh Rektor UMSU, Prof. Dr. Agussani dan Ketua Umum Muhammadiyah, Prof. Dr. Haedar Nashir.

Semasa lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan meluangkan masa hampir setengah jam mendengar sembah taklimat mengenai hala tuju projek berkenaan merangkumi konsep reka bentuk bangunan, fasa pelaksanaan dan potensi kegunaan jangka panjang.

Kemudahan baharu itu dijangka menjadi mercu tanda kecemerlangan pendidikan, dakwah, serta kegiatan sosial Muhammadiyah dan Aisyiyah, bukan sahaja di Sumatera tetapi juga di peringkat rantau Asia Tenggara.

Sebagai rekod, pembinaan projek berimpak tinggi tersebut juga bakal digunakan sebagai Gedung Muktamar Muhammadiyah dan Aisyiyah ke-46 yang dijadual berlangsung pada November 2027.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan harapan agar pembangunan Gedung Berkemajuan yang sedang dirancang itu dapat menjadi mercu tanda baharu bagi kecemerlangan di UMSU.

Selain itu, baginda bertitah, kemudahan itu juga diharap dapat dimanfaatkan secara optimum dalam jangka masa panjang oleh warga akademik, pelajar dan masyarakat umum.

“Pembinaan gedung berskala besar ini wajar dijadikan pemangkin untuk memperkukuh peranan Muhammadiyah dan Aisyiyah dalam membangunkan modal insan yang seimbang dari sudut rohani, intelektual dan sosial,” titah baginda.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penanaman pokok durian di kawasan tapak projek itu sebagai tanda kenang-kenangan melambangkan semangat subur persahabatan dan kerjasama antara institusi Islam Malaysia khususnya Perlis dan Indonesia.

Lawatan baginda ke tapak pembangunan itu bukan sahaja mencerminkan sokongan terhadap usaha besar Muhammadiyah malah turut menzahirkan aspirasi agar hubungan ilmiah serta dakwah antara Perlis dan Sumatera dapat terus diperkukuh demi kemaslahatan umat Islam serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN