Projek Jiwa Murni 9 Skn RAJD pupuk kebersamaan tentera, masyarakat

Projek Jiwa Murni 9 Skn RAJD pupuk kebersamaan tentera, masyarakat

ANTARA anggota-anggota Program Jiwa Murni 9 Skn RAJD bersama qariah Masjid Kampung Parit Melana, Alor Gajah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COGAN kata Skuadron Ke-9 Rejimen Askar Jurutera Diraja, ‘Berusaha Berfaedah’ yang selama ini menjadi pegangan anggota dan dicurah demi negara, turut dizahirkan untuk masyarakat, khususnya kariah Masjid Kampung Parit Melana, Alor Gajah, Melaka dan penduduk sekitar.

Kerja baik pulih kemudahan tandas masjid tersebut yang bermula pada 18 Ogos lalu dibuat menerusi Projek Jiwa Murni (PJM), antara elemen penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama awam dan tentera atau lebih sinonim dengan singkatan CIMIC (Civil-Military Cooperation).

Antara lain, Program CIMIC ini mendukung Pelan Strategik MINDEF (2021–2025) di bawah Teras 4, dengan matlamat memperkasakan kerjasama menyeluruh masyarakat bersama tentera. Usaha ini mencerminkan aspirasi Kertas Putih Pertahanan yang menekankan konsep Pertahanan Komprehensif berteraskan tanggungjawab bersama, demi mengekalkan keamanan negara serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni, selamat, berdaulat dan makmur.

Malah, CIMIC juga dapat mengajak masyarakat mengekalkan keamanan dan keselamatan yang kini tidak lagi didominasi jentera kerajaan semata-mata, sebaliknya peranan tersebut dipikul bersama oleh segenap lapisan rakyat Malaysia melalui pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Ini sekaligus membuktikan peranan tentera melibatkan kerjasama dengan masyarakat yang memberi manfaat secara menyeluruh serta membina kepercayaan dan hubungan baik antara kedua-dua pihak.

Dalam pada itu menurut Ketua Tim Projek 9 Skn RAJD, Mejar Ir. Vivekananthan a/l Devarase, projek menaik taraf tandas masjid berkenaan melibatkan 10 orang anggota lain-lain pangkat (LLP) dan seorang pegawai.

Katanya, kerja-kerja yang mengambil masa selama sebulan itu bukan sahaja memberi peluang kepada anggota menambah kemahiran dan pengetahuan, sebaliknya memberi pengalaman baharu.

“Peranan kami sebagai unit bantuan tempur banyak terlibat dalam latihan ketenteraan dan operasi. Namun apabila adanya projek sebegini, ia satu nilai tambah untuk anggota. Apatah lagi apabila adanya peluang untuk berinteraksi dengan penduduk.

“Malah, apa paling penting, kami menerima maklum balas positif daripada penduduk kampung dan ini secara tidak langsung memupuk semangat kebersamaan antara warga tentera dan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Vivekanathan lagi, sebanyak 15 PJM telah dilaksanakan pada tahun lepas dengan melibatkan beberapa Kawasan di Negeri Sembilan dan Melaka.

Jelasnya, untuk tahun ini, 9 Skn RAJD memberi fokus kepada kerja penyelenggaraan da naik taraf kemudahan komuniti setempat .

 

ANGGOTA tentera melakukan kerja pembaik pulihan tandas pada Program Jiwa Murni 9 Skn RAJD di Masjid Kampung Parit Melana, Alor Gajah.

Dalam pada itu Pengerusi Masjid, Mohd. Salleh Manan berkata, dia dan penduduk kampung menzahirkan penghargaan kepada semua anggota tentera yang terlibat dalam PJM itu.

Katanya, kehadiran anggota 9 Skn RAJD bukan sahaja memastikan kemudahan masjid terus terjaga, tetapi dapat meringankan beban penduduk.

“Sebelum ini saiz tandas sangat kecil dan menyebabkan jemaah yang berbadan besar sukar untuk menggunakan kemudahan tersebut. Malah ada yang sampai terpaksa masuk dalam keadaan mengiring. Selepas ini, dengan adanya tandas baharu, ia memberi keselesaan kepada jemaah.

“Di samping itu, pembinaan ruang wuduk tertutup khas untuk wanita turut memberi manfaat besar, khususnya dalam aspek penjagaan aurat dan keselesaan golongan wanita ketika beribadah di masjid,” jelasnya.

Bagi pegawai Khas Parlimen Alor Gajah, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat menyifatkan kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pemimpin masyarakat setempat jelas terbukti menerusi pelaksanaan projek naik taraf kemudahan masjid yang dijalankan secara gotong-royong.

Katanya, inisiatif ini bukan sahaja memberi impak langsung kepada keselesaan jemaah, malah menggambarkan sinergi yang kukuh antara pasukan keselamatan dan masyarakat awam.

“Kehadiran tentera dalam projek seperti ini memperlihatkan pendekatan menyeluruh ATM mendukung agenda kesejahteraan rakyat, manakala pemimpin setempat pula memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi dan penyelaras keperluan komuniti.

“Hasil kerjasama ini membuktikan bahawa apabila kekuatan fizikal dan sumber tentera digabungkan dengan keprihatinan serta kepimpinan akar umbi, pelbagai manfaat dapat disalurkan kepada rakyat secara langsung dan berkesan,” jelasnya.

Sementara itu, penduduk asal di kampung berkenaan, Osman Budin menzahirkan kesyukuran dengan PJM itu dengan menyifatkan ia sebagai tanggungjawab bagi memelihara bangunan yang mempunyai nilai warisan tersendiri.

“Masjid ini ada nilai sejarah tersendiri kepada penduduk kampung dan simbol perpaduan kami. Dengan adanya pembaikan ini, ia memberi keselesaan kepada jemaah dan memastikan bangunan bersejarah ini terus kekal terpelihara untuk generasi akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN