Prabowo anggap 6,000 kes keracunan makanan hanya jumlah kecil

Prabowo anggap 6,000 kes keracunan makanan hanya jumlah kecil

MURID di sebuah sekolah rendah di Jakarta sedang menikmati hidangan yang disediakan menerusi program makanan percuma kerajaan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, tetap mempertahankan program makanan percuma untuk pelajar sekolah, meskipun lebih 6,000 kes keracunan makanan dilaporkan sejak ia dilaksanakan.

Menurut Prabowo, jumlah yang terjejas adalah kecil berbanding puluhan juta penerima, selain menegaskan program bernilai bilion dolar itu masih dalam fasa penyesuaian.

Kes keracunan yang mencetuskan bantahan awam itu turut disiarkan di televisyen, memaparkan kanak-kanak dirawat di hospital.

Beberapa pertubuhan masyarakat sivil menggesa supaya inisiatif tersebut digantung sementara.

Dilancarkan pada Januari lalu, program yang turut merangkumi wanita hamil itu kini memberi manfaat kepada sekitar 30 juta penerima dan menyasarkan 83 juta menjelang akhir 2026.

“Memang ada kekurangan, termasuk isu keracunan makanan. Namun, setelah kami meneliti semua perkara, kesilapan atau kekurangan hanya mewakili 0.00017 peratus,” kata Prabowo dalam ucapan pada majlis politik.

Setakat ini, terdapat kira-kira 70 insiden berasingan.

Daripada 6,000 yang terjejas, dua pertiga kes berlaku sejak Ogos lalu.

Prabowo menegaskan, program yang bertujuan mencegah masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak, meningkatkan pemakanan ramai anak serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pasaran baharu untuk petani serta nelayan tempatan.

“Ini tidak bermakna kita berpuas hati. Namun, usaha sebesar ini tidak pernah dilakukan dalam sejarah dunia. Brazil sendiri mengambil masa 11 tahun untuk mencapai 40 juta penerima,” katanya.

Selepas mesyuarat Kabinet hujung minggu lalu bagi membincangkan langkah pencegahan keracunan makanan, Prabowo mengarahkan setiap dapur dalam program tersebut dilengkapi dengan peralatan ujian pantas untuk memeriksa kualiti makanan, penapis air serta CCTV yang bersambung ke kerajaan pusat untuk pemantauan.

Agensi Pemakanan Negara minggu lalu berkata, daripada 9,000 dapur program itu, 40 kini ditutup kerana tidak memenuhi piawaian.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN