BOSTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meningkatkan tekanannya terhadap Universiti Harvard pada Jumaat dengan mengenakan sekatan baharu ke atas akses Ivy League itu kepada dana persekutuan bagi bantuan pelajar.
Jabatan Pendidikan AS memaklumkan Harvard, yang berpusat di Cambridge, Massachusetts, kini diletakkan di bawah status kawalan kewangan ketat, berikutan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan institusi tertua dan terkaya di AS itu.
Langkah itu memaksa universiti berkenaan menggunakan dana sendiri untuk menyalurkan bantuan pelajar sebelum menarik semula dana daripada jabatan berkenaan.
Selain itu, jabatan berkenaan turut menuntut Harvard menyediakan surat kredit bernilai AS$36 juta (RM151.4 juta) bagi memastikan kewajipan kewangannya dipenuhi.
Dalam satu surat rasmi, pihak jabatan merujuk kepada keputusan universiti itu mengeluarkan bon dan melaksanakan pemberhentian pekerja sebagai sebahagian daripada konflik berpanjangan dengan Rumah Putih.
“Walaupun Harvard masih layak menyertai program bantuan pelajar persekutuan ketika ini, tindakan ini perlu diambil bagi melindungi pembayar cukai,” kata Setiausaha Pendidikan AS, Linda McMahon dalam kenyataan.
Jabatan Pendidikan turut memberi amaran Harvard berisiko kehilangan akses sepenuhnya kepada pembiayaan bantuan pelajar sekiranya gagal mematuhi permintaan rekod daripada Pejabat Hak Sivil.
Dalam surat berasingan, pejabat itu menegaskan pihaknya mungkin mengambil tindakan penguatkuasaan susulan semakan berterusan terhadap dasar kemasukan Harvard, khususnya sama ada ia masih mengambil kira faktor kaum selepas Mahkamah Agung AS pada 2023 memutuskan amalan tindakan afirmatif adalah tidak sah.
Julai lalu, Harvard berkata, kesan gabungan tindakan kerajaan persekutuan boleh mencecah hampir AS$1 billion (RM4.2 billion) setahun terhadap bajet universiti.
Harvard juga memfailkan saman, membawa kepada keputusan mahkamah yang mendapati pentadbiran Trump bertindak salah apabila menamatkan lebih AS$2 billion (RM8.4 billion) geran penyelidikan yang sebelum ini diluluskan kepada Harvard.- AGENSI











