KUALA PILAH: Golongan penjawat awam perlu membalas perhatian dan keprihatinan kerajaan kepada mereka menerusi penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu menjadi keutamaan apabila Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan bulan depan turut dijangka akan membawa berita baik kepada golongan penjawat awam.
“Kita tunggu pengumuman daripada Perdana Menteri semasa ucapan belanjawan nanti dan saya yakin pasti ada sesuatu daripada kerajaan untuk menghargai penjawat awam.
“Kita sebagai penjawat awam perlu membalas balik kebaikan itu dengan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Itu yang paling penting pada pandangan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat Madani Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2025 di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada bulan depan bakal membawa berita gembira kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam.
Wan Ahmad Dahlan dalam pada itu berharap penjawat awam tidak sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada sebaliknya sentiasa berusaha meningkatkan prestasi.
“Tugas utama kita adalah untuk menyantuni rakyat. Jika perkhidmatan kita masih berada di tahap lama maka tiada perbezaan walaupun kerajaan telah menaikkan gaji.
“Oleh itu, mutu perkhidmatan perlu sentiasa dipertingkatkan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada kerajaan,” katanya.-UTUSAN.










