BANGKOK: Sebuah zoo di Thailand menutup sementara zon pemangsa selepas seorang penjaga zoo maut dibaham singa, sekali gus mencetuskan semula perhatian terhadap cara pengendalian haiwan di taman berkenaan.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, Jian Rangkarassamee, 58, yang berkhidmat sebagai penjaga zoo sejak sekian lama, maut selepas diserang sekumpulan singa ketika keluar dari kenderaannya.
Bedah siasat mendapati mangsa mengalami banyak koyakan dalaman, patah leher serta arteri pecah akibat serangan itu.
Safari World, yang mendakwa di laman webnya sebagai zoo terbuka terbesar di Asia, pernah mencetuskan kontroversi kerana pertunjukan pentas melibatkan orang utan bertinju dan gajah beraksi dengan gelung.
Lima ekor singa, diketuai seekor jantan berusia 10 tahun bernama Trump, kini ditempatkan dalam kurungan untuk pemantauan rapi, manakala zon haiwan besar ditutup sehingga kerja pembaikan selesai.
Pengarah pemuliharaan hidupan liar Jabatan Taman Negara (DNP), Chalerm Poommai berkata, pemeriksaan pada Jumaat mendapati pagar keselamatan rosak, papan amaran tidak mencukupi serta kekurangan kamera litar tertutup (CCTV).
Poommai turut memaklumkan permit operasi zoo itu, tamat pada Oktober 2024, masih menunggu proses pembaharuan.
Aktivis pemuliharaan menuduh zoo berkenaan mengeksploitasi lebih 100 orang utan yang dipaksa menyertai pertunjukan tinju, dengan pegawai perhutanan Indonesia mendakwa primata itu diseludup ke Thailand melalui laut.
Susulan insiden serangan maut itu, kumpulan kebajikan haiwan Wildlife Friends Foundation Thailand (WFFT) dan People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) mengeluarkan kenyataan menggesa kawalan lebih ketat terhadap pemilikan hidupan liar di negara itu.- AFP










