Pengkhianat subsidi tak mengaku urus niaga diesel secara haram

Pengkhianat subsidi tak mengaku berurus niaga 1.24 juta liter diesel secara haram

Simpan pindah diesel
SALAH seorang daripada tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyimpan dan memindahkan diesel bersubsidi secara haram, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - Gambar KPDN Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menjalankan urus niaga 1.24 juta liter minyak diesel bersubsidi secara haram pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, ketiga-tiga individu tempatan berusia bawah 50 tahun itu membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka sebelum ini dikenal pasti bersama seorang lagi individu menerusi satu operasi terhadap sebuah premis yang dijadikan stor haram penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi nelayan, di sekitar Bagan, Sekinchan.

“Kesemua individu melakukan aktiviti melibatkan barang kawalan bersubsidi diesel sejumlah 1.24 juta liter iaitu menjalankan urus niaga minyak diesel bersubsidi nelayan secara tidak mematuhi peruntukkan perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Susulan itu, dua daripada mereka didakwa atas pertuduhan menjalankan urus niaga tanpa lesen borong iaitu berurus niaga secara borong barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel.

“Seorang lagi pula didakwa ada dalam kawalan barang berjadual iaitu minyak diesel dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Mohd. Hanizam, justeru mereka didakwa melanggar Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) dan (2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama.

Kesalahan kali kedua pula memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara maksimum lima tahun.

Hukuman di bawah Seksyen 22(2) akta tersebut turut memperuntukkan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan kali pertama, manakala RM5 juta bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya.

Tambah Mohd. Hanizam, bagaimanapun individu keempat itu sedang dikesan oleh KPDN Selangor bagi menyempurnakan serahan saman bagi sebutan semula prosiding pada 22 Oktober depan.

Beliau berkata, kes disebut di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza, sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN Selangor, Norhashimah Hashim.

“KPDN komited mempergiatkan penguatkuasaan dan tindakan sehingga pelaku dituduh di mahkamah bagi aktiviti jenayah perdagangan yang memberi kerugian kepada perbelanjaan subsidi negara.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada kementerian melalui Whatsapp 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline KPDN 1-800-886-800 atau portal e-aduan kpdn http://eduan.kpdn.gov.my,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN