Penghantar barangan, mekanik curi kabel didenda RM6,000 - Utusan Malaysia

Penghantar barangan, mekanik curi kabel didenda RM6,000

KEDUA-dua tertuduh dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mencuri kabel milik Telekom Malaysia pada Sabtu lalu di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang penghantar barang dan mekanik masing-masing didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kangar di sini hari ini atas pertuduhan mencuri kabel dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Maula Mohd Rodzhi, 32, dan Mohammad Hasrul Akmal Roslan, 28, mengangguk faham dan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mencuri kabel berwarna hitam milik Telekom Malaysia.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di lorong Maji 3, Taman Kemajuan, di sini sekitar pukul 3.31 pagi pada Sabtu lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Azmi manakala kedua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Ayuni Ahmad dan Muhamad Amirul Mansor.

Semasa prosiding, Natasha mencadangkan kepada mahkamah agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas kesalahan tersebut.

Namun begitu, peguam tertuduh memohon agar mahkamah dapat mengenakan hukuman setimpal memandangkan orang kena tuduh (OKT) pertama iaitu Mohamad Firdaus adalah bujang dan perlu menanggung ibu bapa selain bekerja sebagai penghantar barangan.

Selain itu, OKT kedua iaitu Mohammad Hasrul pula merupakan seorang mekanik dengan pendapatan tidak menentu dan perlu menyara ibu bapa yang sudah berusia.

Susulan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap tertuduh dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama 12 bulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×