Penduduk gusar jalan mendap, rosak

Penduduk gusar jalan mendap, rosak

PENDUDUK di Bukit Kerayong menunjukkan mendapan jalan yang membahayakan pengguna di Jalan Iskandar, Bukit Kapar, Klang, Selangor. – UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 20,000 penduduk di Bukit Kapar serta pengguna Jalan Iskandar berdepan risiko kemalangan apabila berlaku mendapan dan kerosakan teruk berulang kali di jalan berkenaan.

Jalan tersebut merupakan laluan utama bagi penduduk di Kampung Bukit Kapar dan Kampung Bukit Kerayong yang meng­hubungkan dengan Jalan Meru Tambahan dan Pekan Kapar.

Jalan tersebut juga merupakan laluan bagi lori-lori kompaktor menuju ke tapak pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor.

Penduduk mendakwa jalan itu tidak lagi selamat untuk dilalui kerana kerosakan yang berlaku akibat mendapan semakin teruk malah kini menyebabkan satu lorong terpaksa ditutup.

Penduduk dari Taman Bai­duri di sini, Mohd. Faizan Salleh, 46, berkata, keadaan semakin buruk lagi apabila laluan tersebut turut menjadi tumpuan lori berat dari projek industri berhampiran.

“Pernah berlaku kemala­ngan melibatkan penunggang motosikal terjatuh kerana tiada papan tanda amaran jelas terutama pada waktu malam.

“Masalah ini bukan saja menyusahkan malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Lubang mendapan itu agak besar sehingga kendera­an terpaksa bergilir-gilir memberi laluan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kamarul Mohamad, 50, memberitahu, lori yang banyak keluar masuk di laluan itu setiap hari turut membahayakan kese­lamatan terutama ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

“Di sini memang bahaya, lori terlalu banyak. Seawal sebelum Subuh pun lori sudah mula lalu lalang.

Kami minta pihak berkuasa segera membuat pemantauan dan mengambil tindakan agar jalan serta kawasan kampung ini kembali selesa dan selamat didiami,” ujarnya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Klang, Ir. Khairul Amir Isahak mengakui Jalan Iskandar kerap mengalami kerosakan namun pihaknya sudah pun berbincang dengan empat pemaju di sana untuk membaiki kerosakan.

“Empat pemaju utama di kawasan Bukit Kerayong bersetuju untuk menanggung kos baik pulih bersama. Satu konsortium ditubuhkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan pemantauan penuh oleh JKR daerah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×