Pemerkasaan asnaf isu kemanusiaan sejagat: Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Pemerkasaan asnaf isu kemanusiaan sejagat: Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (sembilan dari kiri) berkenan bergambar bersama pada Majlis Pelancaran ICOHOPE 2025 di Hotel Grand Mecure, Medan, Indonesia. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN, INDONESIA: Persidangan Antarabangsa International Conference on Holistics Opportunities For Poverty Empowerment (ICOHOPE) 2025 menjadi platform terbaik bagi membincangkan strategi dan program bersasar buat golongan asnaf dengan berasaskan kepada data penyelidikan akademik.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pemerkasaan golongan asnaf merupakan isu kemanusiaan sejagat merentasi sempadan negara dan melibatkan beberapa aspek seperti bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan, tempat tinggal, keselamatan makanan, teknologi dan pembangunan modal insan.

Baginda bertitah, persidangan ICOHOPE 2025 pada kali ini turut menyerlahkan kepentingan
kolaborasi antarabangsa dalam usaha untuk memperkasa kesejahteraan global.

“Usaha menaikkan taraf kehidupan golongan asnaf bukanlah isu yang terhad kepada sesebuah negara semata-mata namun sebaliknya merentasi sempadan geografi.

“Kejayaan yang dicapai oleh sesebuah negara dalam aspek pengurusan zakat misalnya boleh dijadikan rujukan dan contoh amalan terbaik oleh negara lain,” titah baginda pada Majlis Pelancaran ICOHOPE 2025 di Hotel Grand Mecure, di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis pelancaran itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi FCoEE, Prof Emeritus Datuk Ts. Dr. Kamarudin Hussin.

ICOHOPE 2025 merupakan anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Universitas Deztron Indonesia dan Universitas Ubudiyah Indonesia.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kolaborasi antarabangsa turut membuka ruang lebih luas bagi perkongsian sumber baik dari segi ilmu, teknologi, modal mahupun jaringan.

“Kolaborasi antarabangsa turut menjadi pemangkin kepada inovasi sosial melalui pertukaran idea, pengalaman dan amalan terbaik dari pelbagai latar belakang budaya serta sistem.

“Kepelbagaian perspektif ini bukan sahaja memperkayakan pendekatan dalam pengurusan kebajikan malah mendorong kepada pembentukan dasar yang lebih inklusif, responsif dan berimpak tinggi terhadap keperluan komuniti asnaf di peringkat global,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda turut berharap agar persidangan antarabangsa itu dapat dijadikan sebagai titik tolak kepada lahirnya dasar-dasar yang lebih inklusif, program yang berkesan serta projek-projek berimpak buat masyarakat.

“Janganlah wacana ini terhenti hanya di atas kertas, sebaliknya biarlah diterjemahkan kepada tindakan bersepadu dan berterusan,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN