Pas perlu memimpin, bukan dipimpin

Pas perlu memimpin, bukan dipimpin

SUDAH tiba masanya Pas mengetuai atau memimpin Perikatan Nasional (PN) dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika wawancara Utusan Malaysia baru-baru ini sekali lagi menegaskan bahawa sudah tiba masanya Pas mengetuai atau memimpin Perikatan Nasional (PN) dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Kenyataan Hashim itu cukup berasas agar Pas yang merupakan antara parti politik terkuat dan dominan di dalam PN kembali menerajui gabungan tersebut serta mengetengahkan calon Perdana Menteri dari parti itu sendiri untuk memimpin negara sebagai kerajaan.

Sejak dahulu, Pas sering dilihat sekadar menjadi ‘dahan tempat bergantung’ iaitu sebagai sandaran atau tempat berpaut parti lain menumpang kekuatan dan kelebihan Pas.

Mengimbau sejarah, pada 1990, ketika Semangat 46 (S46) bekerjasama dengan Pas membentuk gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) berjaya mencapai kemenangan besar di Kelantan. Ironinya sehingga kini, Pas terus menguasai Kelantan selepas lebih 35 tahun.

Semasa gelombang reformasi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada 1998, Pas sekali lagi menjadi sandaran atau tempat berpaut parti lain yang terbentuk kerjasama dengan Parti Keadilan dan DAP. Gabu­ngan Barisan Alternatif (BA) itu berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan Kelantan melalui Pas manakala Keadilan dan DAP pula berjaya menambah kerusi Parlimen dalam PRU 1999 itu.

Kelebihan Pas mempunyai kekuatan akar umbi dan penga­ruh dalam kalangan pengundi Melayu sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP melalui gabungan Pakatan Rakyat (PR). Gabungan ber­kenaan berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen sekali gus menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah pada PRU 2008.

Gabungan tersebut juga me­nguasai Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak (sementara) pada pilihan raya itu. Pada PRU13, PR terus cemerlang memperolehi 89 kerusi Parlimen dengan undi popular 50.9 peratus.

Ketika ini, di Parlimen, Pas mempunyai 43 kerusi yang mencatatkan bilangan tertinggi dalam sejarah 72 tahun penubuhan parti itu. Di peringkat negeri pula, Pas menguasai empat ne­geri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan empat negeri tersebut ditadbir Menteri Besar dari parti Islam itu.

Pas juga cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri pada 2023 apabila merekodkan kemenangan di 105 daripada keseluruhan 126 kerusi ditandingi mereka. Peratusan kemenangan Pas di dalam PRN yang mendominasi sebahagian besar kemenangan PN khususnya di Kedah, Terengganu dan Kelantan mencecah sehingga 82.7 peratus.

Justeru, menjelang PRU16, Pas yang hampir pasti sekali lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam PN, perlu diberi lebih peranan dan mengetuai gabungan tersebut selain perlu yakin mengenengahkan calon ‘poster boy’ atau Perdana Menteri dari parti itu.

Malah, Bersatu sendiri sudah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Kesebelas bagi mewa­kili parti tersebut.

Bersatu juga sebenarnya sedar, undi dan jentera Pas dilihat banyak membantu kemenangan calon parti tersebut di sesuatu kawasan dalam pilihan raya. Daripada kerja-kerja pasang bendera dan raih undi sekali pun, itu juga banyak bergantung kepada jentera Pas.

Di peringkat akar umbi dan kekuatan jentera, Pas juga jauh lebih kukuh dan parti itu juga tidak mempunyai masalah wa­kil rakyat yang berpaling tadah sebagaimana Bersatu sebelum ini.

Pas perlu yakin dan percaya, mereka kini bukan lagi sekadar parti agama atau parti ‘pak le­bai’ sebaliknya dengan barisan kepemimpinan serta ahli daripada pelbagai latar belakang itu, sebenarnya sudah layak untuk menguruskan ekonomi sete­rusnya menerajui negara.

Sempena Muktamar Tahunan Ke-71 Pas yang berlangsung di Kedah bermula kelmarin sehingga 16 September, para perwakilan perlu tampil membawa suara kepada kepemimpinan supaya Pas memimpin bukan lagi dipimpin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN