ARAU: Graduan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Nur Shafinaz Mohd. Noor, 25, tidak menyangka ditawarkan peluang kerja sebagai Penolong Eksekutif Hal Ehwal Halal di sebuah organisasi di Osaka, Jepun.
Ia sekali gus membuktikan pasaran kerja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus mendapat permintaan tinggi termasuk di luar negara.
Nur Shafinaz berkata, sebaik sahaja menamatkan latihan industri di Japan Da’wah Centre, Jepun selama tiga bulan, dia terus ditawarkan peluang kerja di sana.
Katanya, ia sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
“Saya sangat bersyukur selepas habis sahaja praktikal, saya terus ditawarkan bekerja di Jepun. Sepanjang berada, saya diterima baik oleh keluarga angkat di sana, malah mereka sangat menghargai budaya Malaysia dan membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri,” katanya.
Nur Shafinaz yang juga graduan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal (DHF) menerima Anugerah Kecemerlangan Khas atas pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa yang disampaikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada sidang pertama Konvokesyen PTSS kali ke-17 di sini.
Katanya, sepanjang tempoh latihan industri, dia banyak mempelajari aspek pematuhan halal bagi membantu komuniti Islam di negara itu.
Selain bekerja di organisasi tersebut, dia turut membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam aspek pematuhan halal.
Sementara itu, Pengarah PTSS, Khairul Anuar Ishak berkata, kejayaan tersebut membuktikan graduan politeknik mampu bersaing di pentas global selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh agenda TVET negara.-UTUSAN










