DOHA: Negara-negara Islam perlu mewujudkan pakatan ketenteraan bersama dalam menghadapi ancaman berterusan daripada Israel termasuk serangan terbaharunya ke atas ibu negara Qatar.
Walaupun perkara itu gagal dicapai dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di sini yang berakhir kelmarin, tetapi ia akan dipanjangkan ke mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama.
Keperluan untuk mewujudkan kerjasama ketenteraan dalam kalangan negara-negara Islam sebelum ini telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani.
Katanya, pembentukan pasukan keselamatan bersama itu penting ketika komuniti Islam terutama negara-negara Arab kini diancam oleh Israel secara berterusan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai sidang kemuncak itu berkata, sudah tiba masanya bagi pemimpin negara-negara Islam bertindak, bukan lagi sekadar bersuara.
“Dunia tidak boleh lagi berdiam diri. Kecaman semata-mata tidak memadai dan kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket serta peluru berpandu,” katanya ketika menyuarakan langkah yang perlu diambil negara Islam bagi menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap Palestin dan serangan ke atas Qatar.
Anwar berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin dan semua bangsa yang menuntut keadilan serta keamanan.
Sebelum itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam berkata, serangan bom Israel ke atas sebuah kediaman yang menempatkan keluarga pemimpin Hamas dan delegasi rundingan mereka adalah tindakan khianat dan pengecut secara terang-terangan.
Kenyataan bersama GCC dan Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengandungi kecaman keras, solidariti terhadap Qatar serta penolakan sebarang alasan untuk serangan lanjut.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan pengecut dan tidak sah Israel ke atas negara Qatar. Kami berdiri teguh bersama Qatar,” menurut kenyataan bersama itu.
Katanya, serangan itu membuktikan Israel tidak berminat dengan perdamaian dan sengaja mahu menggagalkan rundingan gencatan senjata di Gaza yang sudah meragut lebih 64,800 nyawa rakyat Palestin.
Sheikh Tamim menegaskan perlunya tindakan konkrit untuk menangani ‘kegilaan kuasa, keangkuhan dan ketaksuban terhadap pertumpahan darah’ yang sedang menguasai pentadbiran Israel.
Satu-satunya langkah yang dianggap paling praktikal ialah ikrar Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama.
Ia juga selaras dengan gesaan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani sebelum ini mengenai pembentukan pasukan keselamatan bersama untuk menghadapi ancaman Israel.
GCC yang dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai pakatan pertahanan untuk menangani kebimbangan keselamatan rantau itu.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Mohammed Al-Ansari berkata, rundingan sedang dijalankan antara badan tentera GCC bagi memperkukuh keupayaan pencegahan negara Teluk, termasuk mesyuarat Komando Tentera Bersatu yang bakal diadakan di Doha.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa berkenaan akan menilai kedudukan pertahanan negara anggota serta sumber ancaman berikutan pencerobohan Israel, selain menegaskan akan mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama dan keupayaan penangkis Teluk.
Negara anggota GCC menandatangani perjanjian pertahanan bersama pada tahun 2000, yang menetapkan serangan terhadap seorang anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua.
GCC menegaskan pihaknya bersedia menggembleng segala kemampuan untuk menyokong Qatar yang bersaudara dan melindungi keselamatan, kestabilan serta kedaulatannya daripada sebarang ancaman.
Sheikh Tamim turut memberi amaran terhadap visi perluasan kuasa Israel di rantau Arab, termasuk pengeboman berulang ke atas Lubnan, Syria dan Yemen.
Beliau turut menekankan tentang pendudukan tanah di Syria dan keengganan tentera Israel berundur dari selatan Lubnan.
“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bermimpi menjadikan rantau Arab sebagai ‘sfera pengaruh Israel’, tetapi itu hanyalah ilusi berbahaya,” katanya.
Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi menyeru Presiden AS, Donald Trump supaya mengekang sekutu rapatnya, Israel.
“Kami menjangkakan rakan strategik di Washington menggunakan pengaruh mereka terhadap Israel untuk menghentikan tingkah laku ini,” katanya.
Majed Mohammed pula menegaskan, Doha akan menggunakan saluran antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan.
“Alat kami ialah keyakinan terhadap undang-undang antarabangsa dan organisasi antarabangsa,” katanya.
Walaupun tiada langkah konkrit diputuskan, beberapa pemimpin Arab dan Islam lain tampil menyuarakan cadangan lebih berani.
Antaranya, Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan yang menggesa tekanan ekonomi dikenakan ke atas Israel dan membawa pemimpin-pemimpinnya ke muka pengadilan antarabangsa.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung keanggotaan Israel serta menubuhkan pasukan khas Arab-Islam bagi merancang langkah berkesan menangkis perluasan kuasa rejim itu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut menggesa negara-negara Islam memutuskan hubungan dengan Israel. – UTUSAN










