WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bertindak menyekat warga China daripada mengakses kemudahan, bahan serta rangkaian agensi itu walaupun mereka memiliki visa sah.
Tindakan drastik tersebut sekali gus menafikan peluang warga China untuk terus berkhidmat di salah sebuah pusat penyelidikan angkasa paling berprestij dunia.
Menurut laporan Bloomberg, sekatan itu mula berkuat kuasa pada 5 September lalu apabila beberapa pelajar dan kontraktor warga China mendapati akses mereka terhadap sistem data NASA ditarik balik secara mengejut malah turut dilarang menghadiri mesyuarat sama ada secara fizikal atau maya berkaitan penyelidikan masing-masing.
Jurucakap NASA, Bethany Stevens mengesahkan perkara itu dengan menegaskan ia merupakan tindakan dalaman membabitkan sekatan ke atas akses fizikal dan keselamatan siber oleh warga China.
Langkah tersebut mencerminkan kebimbangan Washington terhadap kemaraan pesat program angkasa Beijing yang dilihat semakin mencabar kedudukan Amerika Syarikat (AS).
Ketika ini, angkasawan China sudah pun dikecualikan daripada menyertai program Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ekoran larangan perkongsian data antara NASA dan China.
“Sekarang ini kita sedang berada dalam perlumbaan angkasa fasa kedua. China mahu kembali ke bulan lebih awal daripada kita. Itu tidak akan berlaku,” kata Pentadbir Sementara NASA, Sean Duffy dalam sidang akhbar terbaharu.
Beijing sebelum ini menolak dakwaan ancaman yang ditimbulkan program angkasanya, malah menyifatkan misi ke angkasa lepas sebagai usaha kolektif demi manusia sejagat namun, di Washington, Kongres terus menekan NASA agar mendahului China dalam misi pendaratan bulan.
Perlumbaan itu bukan sekadar soal siapa tiba dahulu ke bulan, tetapi juga siapa yang mampu menguasai sumber di permukaan satelit semula jadi bumi tersebut.
Bulan dilaporkan mempunyai mineral berharga termasuk logam nadir bumi, besi, titanium dan juga helium yang penting untuk industri teknologi tinggi serta perubatan. -AGENSI










