MuviiGrind cari bakat baharu, angkat kisah kehidupan masyarakat seluruh rantau ASEAN - Utusan Malaysia

MuviiGrind cari bakat baharu, angkat kisah kehidupan masyarakat seluruh rantau ASEAN

SESI uji bakat MuviiGrind dalam pencarian bakat-bakat baharu untuk menyertai produksi drama vertikal terbaru yang mengangkat kisah-kisah kehidupan masyarakat di seluruh rantau ASEAN.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MuviiGrind sebuah platform inovatif dalam industri hiburan memulakan pencarian bakat-bakat baharu untuk menyertai produksi drama vertikal terbaru mereka.

Drama berkenaan bakal mengangkat kisah-kisah kehidupan masyarakat di seluruh rantau ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, dan Thailand.

Dengan fokus utama kepada negara-negara ASEAN, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pertama untuk sesi uji bakat itu, di Teedo Hotel yang dihadiri lebih 120 peserta.

Para peserta yang hadir sesi uji bakat itu semuanya bersemangat untuk memeriahkan dunia drama vertikal yang sedang berkembang pesat.

Selain itu, lebih daripada 480 individu telah mendaftar dari seluruh Malaysia dan atas sambutan luar biasa tersebut, MuviiGrind merancang untuk mengadakan sesi kedua dalam waktu terdekat.

Panel penghakiman untuk sesi uji bakat ini terdiri daripada nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia, antaranya Datuk Fauziah Nawi, Rosnah Johari dan Zila Bakarin yang masing-masing membawa pengalaman lebih dari empat dekad dalam dunia seni.

Selain mereka, turut bersama-sama dalam barisan panel adalah beberapa tokoh terkenal dalam industri hiburan seperti Hafiz Derani, Zaiham Zainal (Curly Jow), dan Rizuan Md Nor (Apple) yang masing-masing merupakan pengarah dan penulis skrip prolifik yang telah menghasilkan karya-karya popular serta mendapat sambutan hangat penonton.

Bagi memberi dimensi lebih luas kepada para peserta, pelakon Danial Dashuki dan Tiara Suraya turut dijemput untuk turut serta sebagai panel dalam sesi uji bakat ini. Kehadiran mereka bertujuan memberi pendedahan tambahan kepada para calon agar dapat bersedia melepasi peringkat pemilihan yang sangat kompetitif.

MuviiGrind turut menerima sokongan luar biasa daripada pihak Teedo Hotel yang menjadi penaja lokasi serta Dosz Coffee Malaysia yang menyediakan lebih 500 cawan minuman pelbagai jenis seperti kopi, coklat dan teh.

Melihat kepada sambutan yang positif, MuviiGrind berhasrat untuk meneruskan kerjasama dengan lebih banyak pihak dalam usaha memperkukuh jaringan industri hiburan serantau. Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi MuviiGrind untuk membina kerjasama yang saling memberi manfaat antara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.

Dalam usaha menghasilkan drama vertikal yang mampu memenuhi selera penonton dari pelbagai latar belakang budaya, MuviiGrind turut merancang untuk melibatkan pemenang dari festival filem bertaraf antarabangsa seperti Cinema International Film Festival (Filipina), Piala Citra Festival Film (Indonesia) dan Suphannahong National Film Awards (Thailand).

Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MuviiGrind untuk mencipta karya yang berdaya saing dan relevan di kalangan penonton di Filipina, Indonesia, dan Thailand.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN