PETALING JAYA: Pengarah berpengalaman, Murali Abdullah, menyatakan hasrat untuk menerbitkan sebuah drama khas yang bakal menyatukan dua nama besar dalam dunia seni tanah air iaitu pelawak, Sathiya dan penyanyi legenda kumpulan Alleycats, David Arumugam.
Menurut Murali, 62, drama berkenaan yang dirancang untuk disiarkan menerusi platform YouTube bertujuan mengumpul dana membantu Sathiya yang baru-baru ini menjalani pembedahan memotong kaki kiri akibat komplikasi kencing manis kronik.
“Saya sangat meminati David Arumugam. Terlintas dalam hati saya untuk menyatukan beliau dengan Sathiya dalam satu drama YouTube.
“Kalau saya arahkan drama ini dengan tujuan untuk kutip derma buat Sathiya, anda semua akan tonton tak?” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Murali yang dikenali dengan sentuhan drama menyentuh hati berkata, karya tersebut bakal mengetengahkan unsur komedi, muzik dan emosi yang sering menjadi ‘cap dagang’ dalam kebanyakan naskhah arahannya.
“Sebuah drama komedi, ada muzik dan menyentuh perasaan. Itu memang ‘trademark’ saya. Saya memang suka buat penonton menangis,” katanya.
Dalam nada bersahaja, pemenang Pengarah Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2010 itu turut mencuit hati pengikutnya dengan mengajak mereka menyumbangkan tajuk serta idea jalan cerita, namun secara berseloroh mengingatkan agar tidak meminta bayaran tinggi.
“Kalau anda setuju dengan projek ini, cuba beri tajuk dan sedikit jalan cerita. Jangan pula minta bayaran sampai dua juta ringgit, ya. Saya bergurau sahaja,” selorohnya.
Terdahulu, Sathiya, 61, yang cukup dikenali menerusi sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor, dan menjalani pembedahan memotong kaki kirinya pada 19 September lalu selepas mengalami komplikasi serius akibat penyakit kencing manis. -UTUSAN