Menteri tidak dibenarkan keluar negara serta-merta

Menteri tidak dibenarkan keluar negara serta-merta

FAHMI Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang akhbar mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua menteri tidak di­benarkan keluar negara buat sementara berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan Perdana Men­teri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada me­syuarat Kabinet, semalam.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyua­rat-mesyuarat berjadual ataupun per­kara-perkara yang telah diberi pertimbangan khusus oleh Jemaah Menteri boleh diteruskan.

“Ini adalah bagi memastikan menteri-menteri memberi fokus dan keuta­maan kepada pelaksanaan beberapa pro­gram dan juga persiapan menuju Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini.

“Arahan itu juga sebagai persiapan menuju Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada akhir Oktober,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, semalam.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan Belanjawan Madani 2026 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan digarap selari dengan hasrat dan kerangka besar Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), khususnya dalam aspek menaikkan siling dan lantai ekonomi rakyat.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi dengan kehadiran kuasa besar dunia yang berpengaruh.

Sementara itu, mengenai aspek keselamatan fasiliti gas cecair di Bintulu, Fahmi berkata, semua aspek fasiliti gas asli cecair di Bintulu, Sarawak diteliti secara menyeluruh oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan ancaman di kawasan berkenaan.

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkongsi perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan, perkara ini dalam pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa itu telah memastikan aspek keselamatan di premis berkenaan terjamin.

“Pihak MKN pula sedang menilai aspek-aspek secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengarahkan semua fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) atau gas asli cecair di Bintulu, Sarawak untuk memperketat kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, kakitangan Petronas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang didakwa menggunakan nombor telefon dari Indonesia bagi mengancam fasiliti itu.

Fahmi pada sidang akhbar yang sama juga turut mengesahkan laman web Caghi.com, portal yang didakwa dapat mengakses data peribadi rakyat Malaysia telah pun disekat sejak Jun 2022 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, maklumat lanjut berkenaan tindakan itu boleh dirujuk dengan pihak MCMC.

“Untuk maklumat yang lebih terperinci dan terkini, boleh rujuk dengan pihak MCMC. Tapi memang saya boleh sahkan laman web tersebut telah disekat oleh MCMC sejak Jun 2022,” katanya.

Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook mengenai seorang pengguna yang mendakwa data peribadinya telah bocor di sebuah laman web, Caghi.com.

Dia mendakwa laman web itu dapat mengakses nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran dan lesen kenderaan, maklumat sulit perbankan dan informasi perniagaan milikan sendiri.

Lebih mengejutkan, segala maklumat sensitif termasuk nombor pengesahan kad (CVV) tiga digit yang dicetak pada bahagian belakang kad debit atau kredit juga terdedah dan boleh diakses orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN