Masalah air, hasil padi Kelantan dijangka susut - Utusan Malaysia

Masalah air, hasil padi Kelantan dijangka susut

RUMPUT dilihat lebih hidup segar berbanding padi sekali gus menyebabkan hasilan padi di Kelantan dijangka merosot bagi musim kali ini-IHSAN PESAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pesawah Kelantan (Pesak) menjangkakan pengeluaran padi di negeri ini dijangka susut sebanyak 80 peratus sebaik sahaja kerja-kerja menuai bermula bulan depan susulan masalah bekalan air yang menghantui lebih 3,000 petani.

Pengerusinya Zuha Ismail berkata, masalah itu berlaku selepas proses menabur benih dilakukan bermula Jun dan Julai lalu menyebabkan padi tidak dapat tumbuh dengan subur.

Menurutnya, lebih menyedihkan, bekalan air dari rumah pam Kemubu tidak dapat dibekalkan ke sawah dalam tempoh tertentu.

“Keadaan itu menyebabkan rumput lebih banyak tumbuh di kawasan sawah. Bekalan air dari rumah pam Kemubu mula disalurkan pada bulan lalu.

“Itu pun dibuat secara penggiliran. Situasi itu tidak dapat mengubah keadaan padi,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Zuha memberitahu, jika masalah itu terus berlarutan berkemungkinan besar pesawah tidak dapat menanam padi untuk musim depan.

Katanya, Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Tumpat dan sebahagian di Pasir Mas antara kawasan yang terjejas.

“Pesak berharap Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dapat menyelesaikan masalah secepat mungkin terutama di rumah pam Kemubu.

“Sampai bila kami terpaksa menanggung kerugian. Untuk kali ini, sudah empat musim berturut turut pesawah menanggung kerugian,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN