KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup ketulan mampat ganja seberat kira-kira 15 kilogram di kedudukan 0.7 batu nautika dari pesisir Kuala Sanglang, di sini, hari ini.
Rampasan ganja itu dibuat selepas bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang menggunakan enjin berkuasa tinggi dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 4.50 pagi di lokasi berkenaan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, susulan itu, bot tersebut yang dipercayai dinaiki dua individu kemudiannya bertindak memecut laju dalam keadaan gelap sebelum membuang beberapa objek ke laut.
“Pemeriksaan lanjut terhadap objek yang dicampak oleh suspek telah menemukan sekarung guni putih berisi 14 ketulan mampat daun kering disyaki ganja.
“Hasil semakan juga mendapati nilai keseluruhan rampasan ganja itu adalah dianggarkan hampir RM76,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Romli berkata, selepas menyedari kehadiran anggota peronda Maritim Malaysia, bot suspek juga bertindak menukar haluan ke pesisir pantai untuk menggelakkan daripada ditahan.
Katanya, kedua-dua suspek tersebut juga dikesan berjaya meloloskan diri menuju ke arah perairan Kedah.
“Kehadiran bot sindiket itu pada awalnya disedari oleh bot penyamaran kami yang kemudiannya melaporkan kepada pasukan bot rondaan. Anggota bot rondaan juga turut mengutip guni yang dibuang oleh suspek tersebut yang mengandungi ketulan ganja,” katanya.
Dalam pada itu, Romli berkata, semua rampasan ganja itu dianggarkan dapat menampung kegunaan lebih 30,000 orang penagih.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
“Ini merupakan rampasan dadah kedua pada tahun ini untuk Zon Maritim Kuala Perlis selepas kejayaan sama pada Julai lalu. Siasatan turut diperluaskan bagi mengesan dalang utama sindiket dipercayai terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing di Kedah serta Perlis,” katanya.-UTUSAN