GUA MUSANG: Seorang lelaki warganegara Nepal parah dipijak gajah liar selepas mengintai haiwan berkenaan dalam kejadian di ladang kelapa sawit dekat Pos Blau di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa Muhammad Shukri Abdulah @ Muti Bahadur Bayambu, 54, cedera parah di bahagian kaki, dada dan leher selepas diserang haiwan liar berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati haiwan berkenaan turut menggunakan belalai untuk membelit dan membawa mangsa
kira-kira 100 meter sebelum ditinggalkan di bawah bukit.
Katanya, sebelum kejadian mangsa dipercayai menunggang motosikal untuk pulang ke rumah kongsi.
“Semasa di pertengahan jalan ladang tersebut, mangsa mendapati ada kesan tapak gajah di laluan tersebut. Mangsa bertindak mengintai gajah dan tanpa disedari haiwan liar itu telah membelitnya menggunakan belalai.
“Gajah itu telah membawa mangsa kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan dipijak sebelum meninggalkan mangsa di bawah bukit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mangsa telah dijumpai oleh pekerja ladang yang lain selepas mendengar mangsa menjerit kesakitan.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan akan dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN