DUN Kedah: RTB Sungai Kedah Anak Bukit dilanjutkan kali kelima 

DUN Kedah: RTB Sungai Kedah Anak Bukit dilanjutkan kali kelima 

PROJEK RTB Pakej 2 Sungai Kedah Anak Bukit yang mengalami kelewatan sejak 14 tahun lalu di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah Anak Bukit (SKAB) Pakej 2 yang mengalami kelewatan sejak 14 tahun lalu telah diberikan lanjutan masa (EOT) kali kelima sebanyak 231 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, tarikh siap baharu projek berkenaan ditetapkan pada 14 Jun 2026.

Katanya, pemantauan akan dijalankan bagi memastikan projek disiapkan dalam masa ditetapkan dan tindakan akan diambil berdasarkan syarat-syarat kontrak sekiranya terdapat ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan yang dilaksanakan dalam memastikan projek ini siap sepenuhnya dengan kadar segera adalah dengan menjalankan pemantauan dan penyelarasan berterusan. 

“Dalam tempoh penyiapan projek, pihak kerajaan melalui pasukan projek akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri untuk memastikan risiko banjir berada pada tahap yang minimum dan keselamatan penduduk diutamakan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Mohamad Yusoff (Pas-Kuala Nerang) menjawab pertanyaan Rashidi Razak (Pas-Anak Bukit)  berhubung projek RTB SKAB dan tindakan kerajaan negeri bagi memastikan projek itu siap sepenuhnya dengan segera demi memastikan kesejahteraan rakyat dalam mengurangkan risiko banjir.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap ‘projek sakit’ berkenaan diberikan keutamaan untuk disiapkan berikutan sudah terlalu lama hingga menyebabkan penduduk terus berdepan kerugian besar setiap kali banjir melanda.

Menurutnya, kerajaan negeri bersedia membantu mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut sekiranya terdapat kekangan di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan penduduk Mukim Sungai Baru melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Sungai Baru Tok Keramat; Kampung Sungai Baru Tengah; Kampung Sungai Baru Hilir dan Kampung Sungai Baru Kuala Sungai mahu penyelesaian segera terhadap masalah banjir kerana sudah ‘letih’ menghadapinya saban tahun.

Masalah banjir di kawasan tersebut dikatakan sudah berlarutan puluhan tahun, antara situasi paling buruk adalah ketika banjir besar 2010 dan kembali berulang tahun lepas membabitkan lebih 600 buah rumah penduduk.

Untuk rekod, RTB SKAB Pakej 1 telah siap pada Oktober 2012 dan RTB SKAB Pakej 3 disiapkan sepenuhnya pada April 2021. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini